SHAH ALAM 16 JAN: Malaysia Women Marathon (MWM) melalui Tourism Selangor mensasarkan lebih ramai peserta bakal menyertai program itu pada 16 Mac ini berikutan sambutan yang menggalakkan pada tahun sebelumnya.
Pengarah program MWM, Karen Loh, berkata Malaysia merupakan negara kelima di dunia dan negara tunggal di Asia Tenggara sehingga New Zealand yang menganjurkan aktiviti ini.
“Wanita perlu yakin dalam setiap tindakan dan sekiranya tidak memulakan sesuatu, mereka tidak mampu untuk memajukan diri ke hadapan.
“Keluarga hadir tidak perlu risau kerana kita ada menyediakan aktiviti sampingan seperti aktiviti seni untuk kanak-kanak dan juga tempat penjagaa bagi menambahkan kemeriahan aktiviti,” kata Karen dalam sidang media di Hotel Concorde di sini.
Exco Pelancongan, Elizabeth Wong, berkata aktiviti itu satu titik permulaan untuk menaikkan semangat mereka supaya mereka menjadi seorang tidak mudah mengalah.
“Melalui pengalaman saya menyertai marathon di Melbourne, walaupun jarak yang saya habiskan cuma 3km namun impaknya menjadikan saya lebih kuat dari aspek mental dan fizikal serta menambahkan keyakinan diri,” kata Elizabeth.
Exco Kebajikan Wanita, Rodziah Ismail berkata, acara itu menyampaikan mesej kepada seluruh wanita terutamanya di Selangor bahawa kesihatan dan kecergasan itu penting.
Exco Kesihatan,Dr Daroyah Alwi, berkata program sebegini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu melihat rakyat sihat dan cergas.
“Peserta yang melibatkan diri dalam acara MWM ini boleh menjadikan acara anjuran kementerian kesihatan ini sebagai satu bentuk persediaan diri dan aktiviti pemanas badan sebelum ketiabaan MWM,” kata Daroyah.
Bagi acara MWM tahun ini, kehadiran Nashata, satu label pemakaian sukan untuk muslimah turut menjadi salah satu penaja bagi acara ini.
Menurut pengasas label ini, Eliza Nordin, beliau cuba untuk membuka minda para muslimah di Malaysia supaya tidak menjadikan pemakaian sebagai salah satu faktor mengapa mereka sukar untuk menyertai sukan lasak mahupun bersenam.
“Para muslimah seharusnya kekal aktif dan tiada apa yang mampu menjadi penghalang. Dengan adanya Nashata, persepsi mereka berubah dan membuatkan mereka berminat untuk melibatkan diri dalam program-program sebegini.” kata Eliza.
Majlis sidang media ini turut dihadiri oleh para penaja utama yang lain seperti Habib jewels, Prudential , Air Asia, dan GE (General Electric).
Sumber - Selangorkini.