Sunday, 22 March 2015

SAMBUTAN HARI WANITA PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2015

UCAPAN PERASMIAN YB PUAN DR DAROYAH ALWI
SAMBUTAN HARI WANITA PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2015 DAN PRA PELANCARAN “SELANGOR ORKED FASHION FESTIVAL 2015”
22 MAC 2015
SHAH ALAM CONVENTION CENTER




Pertama-tamanya ingin saya mengucapkan “Selamat Hari Wanita” buat sekalian wanita – wanita yang hebat dan berdaya di dalam majlis kita pada hari ini. Walaupun Hari Wanita Sedunia disambut pada tanggal 8 Mac setiap tahun, namun saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana pada hari ini kita dapat bersama – sama dalam Majlis Sambutan Hari Wanita 2015 Peringkat Negeri Selangor dan Majlis Pra Pelancaran “Selangor Orked Fashion Festival 2015”. 

Sambutan Hari Wanita Sedunia merupakan antara hari yang penting bagi meraikan pencapaian kaum wanita diserata dunia serta satu seruan kepada dunia dalam usaha mencapai kesaksamaan gender serta keadilan kepada kaum wanita.

Usaha ke arah Negara maju akan pincang selagi tiada komitmen Kerajaan untuk merealisasikan kesaksamaan gender, pemberdayaan wanita dan pengiktirafan hak – hak wanita secara holistik.

Pengiktirafan ini jelas dalam Deklarasi Beijing dan Persidangan penghapusan semua bentuk diskriminasi terhadap wanita atau CEDAW yang telah ditandatangani oleh Malaysia serta negara – negara anggota bagi mengintegrasikan kepentingan dan perspektif gender dalam dasar – dasar dan program – program pembangunan Negara.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan dalam merealisasikan agenda ini serta memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan mencapai kesaksamaan gender serta hormat wanita dalam konteks ini. 


Hadirin dan hadirat sekalian,

Tema Sambutan Hari Wanita Sedunia pada tahun ini adalah #MakeItHappen Tema yang memberikan satu penegasan kepada dunia bahawa kita harus merealisasikan agenda pemberdayaan wanita dalam pelbagai bidang.

#MakeItHappen dalam kesaksamaan gender. #MakeItHappen dalam membuka peluang lebih ramai kepimpinan wanita, #MakeItHappen penghapusan diskriminasi terhadap wanita.

Maka, tema Sambutan Hari Wanita bagi Peringkat Negeri Selangor pada kali ini adalah Hormat Wanita - #MakeItHappen. 

Tema ini dipilih bagi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh YAB Tuan Mohamed Azmin Bin Ali yang peka gender dan amat prihatin terhadap keperluan kaum wanita.

Pusat Wanita Berdaya (PWB)

Kerajaan Negeri Selangor pada sesi Belanjawan 2015 yang lalu telah meluluskan sebanyak RM2.81 juta bagi penambahbaikan program – program pembangunan dan pemberdayaan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di semua 56 DUN di Negeri Selangor. 


Pusat Wanita Berdaya ini akan diselia oleh Penyelia PWB akan dilantik tidak lama lagi bagi meneruskan komitmen Kerajaan Negeri dalam agenda pemberdayaan wanita Negeri Selangor melalui program – program kemahiran dan latihan untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita diperingkat akar umbi serta meningkatkan taraf pendapatan keluarga melalui produk – produk yang dihasilkan oleh PWB masing – masing.

Antara fokus pemberdayaan dalam PWB kali ini adalah dari aspek kefahaman gender, kepimpinan, serta kesihatan dan keselamatan keluarga. 

Melalui program – program pemberdayaan ini, diharapkan agar wanita di Negeri Selangor lebih berdaya saing dan peka gender dalam memastikan wanita sentiasa kehadapan dalam pelbagai bidang serta berjaya dalam rumahtangga dan kerjaya. 

Tuan – tuan dan Puan – puan yang dihormati sekalian,

The Global Gender Gap Index 2014 

Kerajaan Negeri menyedari bahawa kaum wanita merupakan watak utama dalam menyumbang kepada pembangunan mampan negeri serta membentuk sosiobudaya masyarakat.

Seramai 2.5 juta rakyat Selangor merupakan kaum wanita iaitu separuh daripada penduduk rakyat Negeri Selangor. 

Jesteru itu, wanita harus diambil kira dalam semua aspek kritikal pembangunan Negara dari sudut ekonomi, politik, pendidikan dan kesihatan. Kerana kemajuan dan persaingan sesebuah Negara itu amat bergantung kepada bagaimana peranan wanita itu dihargai serta peluang yang dibuka kepada bakat dan potensi wanita mereka.

Dalam The Global Gender Gap Index 2014 yang dilaporkan oleh World Economic Forum, Malaysia berada dikedudukan ke 107 daripada 142 buah negara, lebih rendah berbanding Singapura ke 59, Vietnam ke 76 dan Indonesia ke 97.

Dan aspek penyertaan politik merupakan skor paling rendah yang dicatatkan oleh Malaysia iaitu 0.052 atau tangga ke 132 daripada 142 buah Negara. Manakala skor bagi pemberdayaan ekonomi pula 0.61 atau pada kedudukan 104 daripada 142 buah Negara. Bagi aspek pendidikan dan kesihatan pula, Malaysia mendapat skor yang agak baik.

Sebahagian daripada kajian ke-20 Deklarasi Beijing, kerajaan-kerajaan di Asia Pasifik telah mengenal pasti bahawa pemberdayaan ekonomi wanita, penyertaan politik dan penghapusan keganasan terhadap wanita sebagai asas untuk masa depan kita, dan keutamaan untuk mencapai kesaksamaan gender 

Analisa Bank Dunia juga menunjukkan jika ekonomi wanita setanding dengan lelaki, pertumbuhan ekonomi di kebanyakkan Negara Asia Pasifik akan  meningkat sebanyak 18%. 

Oleh itu, Malaysia masih punya jalan yang panjang bagi membetulkan kedudukan dan taraf wanita di Malaysia dalam aspek pemberdayaan ekonomi dan penyertaan politik.

Dan Kerajaan Negeri Selangor senantiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menjayakan agenda memartabatkan wanita di Malaysia ini.

Para tetamu yang dikasihi sekalian,

Hormat Wanita - #MakeItHappen

Tercatat dalam Al – Quran dalam Surah Al – Hujurat, ayat 13 yang “Sesungguhnya yang paling mulia disisi Allah ialah yang paling bertaqwa dikalangan kamu”..

Al-Quran dengan jelas memberitahu kita bahawa tiada diskriminasi terhadap wanita kerana semua dijadikan Tuhan adalah untuk memakmurkan alam ini. 

Pencapaian seseorang wanita itu tidak harus didiskriminasi kerana gendernya, tetapi kejayaannya. Tidak harus disekat, tetapi diberi peluang yang sama rata. Tidak harus dipandang rendah tetapi diangkat sesuai dengan kemampuan dirinya.

Dunia menyaksikan pelbagai usaha dan agenda yang diperjuangkan untuk mengangkat dan mengiktiraf wanita. Diskriminasi gender adalah amat 

Masyarakat harus berubah, melakukan satu anjakan pemikiran bahawa wanita itu harus dihormati dan diberi peluang yang sama rata dalam aspek kepimpinan politik, ekonomi dan keselamatan.

Kesaksamaan gender ini adalah satu revolusi yang belum selesai. Perjuangan untuk memberikan penghormatan dan hak kepada wanita harus diteruskan dan memerlukan komitmen semua pihak.

Wanita harus berani melakukan perubahan. Berani untuk kehadapan dan menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Antarabangsa. Saya mengajak semua, untuk bersama-sama kita merealisasikan Hormat Wanita. 

SELANGOR ORKED FASHION FESTIVAL 2015 (ORKED) 

Dikesempatan ini juga, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menganjurkan Selangor Orked Fashion Festival 2015 atau ringkasannya ORKED sebagai satu platform bagi mengangkat  rekaan – rekaan para pereka fesyen tempatan serta menggalakkan lagi industri fesyen tempatan dan antarabangsa di Negeri Selangor. 



ORKED yang akan berlangsung pada 29 hingga 31 Mei 2015 yang akan datang membolehkan lebih banyak jenama fesyen tempatan dipromosikan dalam kalangan peminat – peminat fesyen masa kini serta anak – anak muda.

Bagi tujuan itu juga, ORKED akan membuka peluang kepada para pereka fesyen muda dikalangan pelajar – pelajar IPT /IPTS untuk menyertai Pertandingan Fesyen bertemakan bunga anggerik atau orkid untuk mencungkil bakat – bakat dan potensi dikalangan anak – anak muda kita.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih diatas penyertaan tiga orang pereka fesyen tempatan kita pada hari ini yang akan memperagakan koleksi masing – masing iaitu Dwen Raha, Bella Labelle dan Alia.

Begitu juga para tetamu jemputan dari industri fesyen dan artis – artis jemputan turut meraikan majlis kita pada hari ini. Tidak dilupakan wakil dari IPT dan IPTS. Saya mengalu – alukan kehadiran semua dan menjemput untuk bersama – sama menjayakan ORKED 2015 yang berlangsung pada Mei akan datang

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita 2015 Peringkat Negeri Selangor dan Majlis Pra Pelancaran Selangor Orked Fashion Festival 2015.

Wabillahitaufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum wbt.

No comments:

Post a Comment