Thursday, 11 September 2014

Buah-buahan dan Sayur-sayuran: Lima Hidangan Sudah Mencukupi

Pakar pemakanan British pada April lepas menyatakan tujuh hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah kunci kepada kesihatan, bukan lima hidangan seperti yang digariskan dalam garis panduan pemakanan.
Namun terdapat kenyataan baru dalam arena pemakanan sihat yang menyatakan cadangan lima hidangan yang terkenal itu, yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), adalah memadai.
Penyelidik di China dan Amerika meneliti 16 terbitan kajian mengenai diet dan kesihatan yang melibatkan lebih 830,000 orang peserta, yang dipantau untuk tempoh antara empat setengah hingga 26 tahun.
Saintis mendapati bahawa setiap tambahan hidangan harian buah-buah dan sayur-sayuran mengurangkan risiko kematian awal berpunca daripada pelbagai punca sebanyak 5%.
Menurut penyelidik lagi, di sepanjang tempoh kajian, seramai 56,000 orang peserta meninggal dunia. Bagi kematian yang berpunca daripada serangan jantung atau strok, setiap hidangan tambahan mengekang risiko sebanyak 4%.
Mengikut tinjauan, yang diterbitkan di dalam jurnal online British Medical Journal (MBJ), tiada bukti yang menunjukkan penurunan kadar risiko bagi jumlah hidangan yang melebihi lima.
“Kami menemui takat sekitar lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari, lebih daripada itu tidak menurunkan lagi kadar risiko kematian,” kata penyelidik daripada Harvard School of Public Health, Boston, yang diketuai oleh Frank Hu.
Kajian juga mendapati hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi tidak diterjemahkan kepada pengurangan yang ketara dalam risiko kematian berpunca daripada kanser.
Menurut jurnal tersebut lagi, selain daripada menasihati pesakit tentang makan cara sihat, doktor perlu berusaha keras untuk menyampaikan mesej tentang risiko obesiti, gaya hidup kurang aktif, merokok dan minum minuman keras berlebihan.
Dalam bulan April, penyelidik di University College London mendapati bahawa pengambilan tujuh hidangan harian atau lebih boleh mengurangkan risiko kanser sebanyak 25% dan penyakit jantung sebanyak 31% berbanding mereka yang mengambil kurang daripada satu hidangan sehari.
Kajian tersebut berdasarkan tabiat makan kira-kira 65,000 orang di England di antara tahun 2001 hingga 2008.
Penyelidik London mengakui yang mereka terkejut dengan penemuan mereka dan mengingatkan yang hasil kajian tersebut mungkin tidak terpakai di negara lain.
Garis panduan WHO adalah berdasarkan lima hidangan 80g setara dengan setiap hidangan bersamaan dengan sebiji epal bersaiz sederhana, semangkuk salad campur, atau tiga sudu penuh sayur mentah, dimasak, tin atau beku. – AFP

Kenali Penyakit Batu Karang



Hati menghasilkan hempedu - sejenis cecair berwarna coklat kehijauan yang mengandungi garam hempedu, cecair lemak, kolestrol dan bahan-bahan kimia lain.

Cecair pekat ini disimpan di dalam pundi hempedu sehingga ia diperlukan untuk mencerna lemak di dalam usus kecil anda. Apabila makan, pundi hempedu anda akan mengecut dan membebaskan hempedu melalui duktus sistik dan memasuki duktus hempedu biasa.

Kemudian, duktus hempedu ini akan membawa hempedu ke bahagian atas usus kecil (duodenum) di mana ia akan mula memecahkan lemak dalam makanan anda.

Bagaimanapun, menurut Dr. Abd. Hamid Mat Sain, jika hempedu anda tidak mempunyai bahan kimia yang seimbang, ia akan membentuk menjadi partikel keras dan seterusnya menjadi batu karang.

"Proses ini akan mengambil masa selama beberapa tahun. Saiz batu karang hempedu ini adalah sekecil sebutir pasir atau sebesar bola golf yang licin serta bulat atau tidak tentu bentuknya dengan permukaan yang kasar.

"Anda mungkin mempunyai seketul atau beratus-ratus ketul batu karang hempedu di dalam tubuh anda," kata Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan itu.

Seperti kebanyakan orang yang pernah menghidap penyakit batu karang hempedu, anda juga boleh mengalaminya tanpa sedar kerana ia boleh hadir tanpa sebarang simptom atau memerlukan rawatan perubatan.

Jika anda seorang wanita yang berusia dan mempunyai tubuh yang agak berisi, risiko untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu ini agak tinggi.


Simptom-simptom
  • Rasa senak yang kronik yang ditandai dengan rasa mual, angin, kembung perut dan kadangkala sakit di bahagian abdomen.
  • Kesakitan yang datang secara tiba-tiba, konsisten dan sederhana bertukar menjadi kesakitan yang teramat sangat di bahagian tengah dan kanan atas abdomen, kata Dr. Abd. Hamid.

    "Ini mungkin menandakan serangan penyakit batu karang hempedu akan berlaku. Rasa sakit itu mungkin berlaku selama satu hingga dua jam selepas makan tetapi ia juga boleh terjadi pada waktu malam.

    Selalunya, rasa sakit itu memakan masa dari 15 hingga 30 minit ke beberapa jam. Sakit batu karang hempedu bermula di bahagian tengah dan kanan atas abdomen dan pada waktu-waktu tertentu, akan menular ke belakang atau bahu kanan," jelasnya.

    Selepas rasa sakit berkurangan, seseorang mungkin mengalami rasa sakit yang sederhana atau kesakitan di bahagian atas abdomen selama satu hari atau lebih. Serangan batu karang hempedu tidak menentu. Ia boleh mengambil masa selama berminggu-minggu, berbulan bulan atau bertahun-tahun lamanya.
  • Loya dan muntah. Kadangkala, batu karang hempedu terperangkap di pangkal pundi hempedu dan mengakibatkan rasa sakit yang berterusan atau mengalami demam panas.

    Apabila ini berlaku, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Tambah Dr. Abd. Hamid, ada ketikanya, batu karang hempedu terlepas dari pundi hempedu dan masuk melalui duktus dari hati dan pundi hempedu ke usus kecil (duktus hempedu biasa). Ia juga boleh masuk melalui duktus yang menghala ke pankreas.

    "Terdapat beberapa kes di mana ketulan batu karang mungkin tersumbat dan menyekat duktus, mengakibatkan komplikasi yang dikenali sebagai pankreatitis. Besar kemungkinan anda akan mengalami kesakitan dan demam disebabkan pembengkakan di kawasan tersebut. Jika tidak dirawat segera, ia boleh mengancam nyawa," katanya.

    Beberapa tanda dan simptom duktus hempedu yang tersumbat termasuklah kulit yang kekuningan dan kawasan mata menjadi putih (jaundis), air kencing berwarna gelap, demam panas dan sejuk.

    "Jika anda mengalami satu atau lebih simptom halangan duktus hempedu - sakit di bahagian abdomen, warna kekuningan di kulit dan warna putih di mata (jaundis), air kencing yang gelap, dan demam panas dan sejuk - sila dapatkan penjagaan kecemasan.

    "Perlu juga diingatkan bahawa ada waktunya, anda akan mengalami jaundis dan perubahan pada warna air kencing dan najis tanpa kesakitan atau senak yang teruk. Ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum anda perasan perubahan warna itu," terang Dr. Abd. Hamid.

Faktor-faktor Risiko

Batu karang hempedu merupakan suatu penyakit yang diwarisi secara turun-temurun dan tidak dapat dihalang pembentukannya. Faktor-faktor lain mungkin meningkatkan risiko penyakit ini seperti:
  • Wanita di antara umur 20 dan 60 tahun lebih berisiko untuk menghadapinya dua kali ganda lebih daripada lelaki.
  • Sewaktu indeks jisim tubuh (BMI) meningkat, risiko anda untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu juga meningkat.
  • Diet yang berkalori rendah dan menghilangkan berat badan dengan cepat akan mengganggu sistem kimia, menyebabkan pundi hempedu anda kurang mengecut sekali gus meningkatkan risiko anda menghidapi penyakit batu karang hempedu.
  • Kebarangkalian anda menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia anda.

Jenis-jenis batu karang hempedu
  • Batu karang hempedu berkolesterol. Batu-batu karang hempedu yang berwarna kuning mengandungi kolesterol yang tidak terlarut, walaupun ia mungkin mengandungi komponen-komponen lain seperti kalsium dan bilirubin (sisa-sisa sel darah merah yang lemah). Sebanyak 80 peratus batu karang hempedu adalah batu kolesterol.
  • Batu karang hempedu berpigmen. Batu-batu kecil berwarna coklat gelap atau hitam terbentuk apabila terdapat terlalu banyak bilirubin. Ia boleh dihidapi oleh mereka yang mengalami sirosis, jangkitan trek biliari dan anaemia sel sikel yang menghasilkan bilirubin secara berlebihan.
  • Batu karang hempedu duktus primer. Batu-batu ini akan terlepas ke dalam duktus nanah anda dan membentuk duktus itu sendiri. Walau bagaimanapun, batu karang jenis ini agak jarang berlaku.

Diagnosis

Dr. Abd. Hamid memberitahu, kebanyakan batu karang hempedu lebih-lebih lagi yang tidak menunjukkan tanda-tanda atau simptom-simptom, dikesan sewaktu ujian dijalankan - termasuk ujian ultrasound atau imbasan tomografi berkomputer - yang dilakukan atas sebab-sebab lain.

"Jika anda mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom penyakit batu karang hempedu, doktor anda akan mengesyaki anda mempunyai penyakit tersebut berdasarkan latar belakang perubatan keluarga anda dan pemeriksaan fizikal.

"Sewaktu pemeriksaan tersebut, doktor anda akan memeriksa jaundis di kulit atau keputihan di mata anda dan abdomen anda akan diperiksa secara palpasi untuk melihat sama ada ia akan terasa sakit apabila disentuh."

Jika doktor anda mengesyaki anda menghidapi penyakit batu karang hempedu, anda mungkin terpaksa melakukan ujian darah untuk memeriksa tanda-tanda jangkitan, tahap enzim pankreatik atau hati yang tidak normal, atau bilirubin yang berlebihan.

Rawatan

Doktor-doktor sering kali menemui 'batu-batu senyap' ini sewaktu pemeriksaan kesihatan yang rutin untuk mengesan penyakit lain dan selalunya, pesakit disarankan untuk 'tunggu dan lihat' daripada merawat.

Walau bagaimanapun, jika batu karang hempedu anda menunjukkan simptom-simptom, terdapat rawatan pembedahan dan bukan pembedahan yang boleh dilakukan.

Pembedahan
  • Pembedahan laparoskopik kolesistektomi. Kebanyakan surgeri pundi hempedu dijalankan menggunakan laparoskop – sejenis tiub senipis pensel dengan sistem lampu dan kamera video yang kecil.

    Hanya beberapa insisi kecil akan dilakukan. Anda kurang berasa sakit selepas pembedahan, kurang parut dan boleh kembali melakukan aktiviti seharian hanya dalam beberapa hari.
  • Pembedahan terbuka. Pundi hempedu akan dikeluarkan melalui insisi besar di abdomen. Selepas surgeri dilakukan, hati anda akan terus menghasilkan hempedu yang secukupnya untuk mencernakan diet yang normal.

Bukan pembedahan

Batu-batu karang akan terbentuk berulang kali apabila rawatan bukan surgikal dilakukan. Walau bagaimanapun, apabila surgeri bukanlah pilihan utama si pesakit, doktor anda akan mencadangkan salah satu daripada pilihan berikut:
  • Pil garam hempedu. Doktor akan menyarankan pengambilan ubat ursodial (Actigall), yang akan melarutkan batu-batu kolestrol dalam beberapa waktu yang ditetapkan. Rawatan ini sesuai dilakukan untuk batu-batu karang yang kecil.
  • Terapi gelombang bunyi (litotripsi gelombang kejutan extracorporeal). Rawatan ini menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk memecahkan batu-batu karang. Batu-batu karang akan terbentuk kembali melainkan jika anda mengambil ursodial secara berterusan.

Kenali Penyakit Asma Secara Terperinci

PENYAKIT asma atau lelah adalah immunologi yang menyebabkan kesukaran bernafas. Ketika pesakit diserang asma, keradangan dan spasma pada selaput dinding laluan udara menyebabkan bronkiol di dalam paru-paru menjadi sempit.
Pesakit asma mungkin mengalami pernafasan bersiul (wheezing), sesak nafas dan sukar bersenam. Ketika otot kejang, saluran udara mengecil dan menghalang pernafasan, menyebabkan paru-paru berkurangan udara dan mengakibatkan pesakit boleh pengsan.
Penyakit ini boleh menyerang kanak-kanak mahupun orang dewasa. Menurut kajian, jumlah kanak-kanak diserang penyakit asma adalah 10 hingga 20 peratus dan biasanya ia tidak boleh diubati.

Pun begitu ia akan hilang dengan sendiri apabila kanak-kanak dewasa. Secara global, hampir 300 juta individu menghidap asma dan bilangan ini dijangka meningkat 100 juta lagi menjelang 2025.
Kebarangkalian kanak-kanak mendapat asma antara usia 0 hingga 14 tahun sebanyak 4.5 peratus manakala bagi orang dewasa berusia 15 tahun ke atas ialah 4.1 peratus.
Bagi kanak-kanak yang menghidapi asma sederhana, serangan hilang apabila mencapai usia 12 hingga 13 tahun. Manakala 50 hingga 60 peratus sembuh apabila mencapai usia 20 hingga 25 tahun, sementara 20 peratus lagi mendapat asma berterusan dan hanya sebilangan kecil sembuh.
Menyedari pentingnya membanteras penyakit itu, terutama di kalangan kanak-kanak, syarikat penjagaan kesihatan pengguna dan farmaseutikal, GlaxoSmithKline (GSK) memperkenalkan Fluticasone propianate iaitu alat sedut dos bermeter yang mempunyai kesan nyata atasi anti keradangan dalam paru-paru.
Alat sedutan yang boleh didapati dalam dos 50 mikro gram itu dikhaskan bagi kanak-kanak penghidap asma berusia setahun ke atas yang dapat mengurangkan gejala dan eksaserbasi asma pesakit yang sebelumnya dirawat menggunakan bronkodilator atau terapi propilaktik lain.
“Asma adalah penyakit kronik paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Senario ini berlaku di semua negara tanpa mengambil kira tahap pembangunan,” kata Pengerusi Majlis Asma Malaysia, Dr Norzila Mohamed Zainudin.
Tambahnya, kebanyakan pesakit asma ada keperluan berkaitan penyakit yang belum ditemui, seterusnya menyebabkan tahap kawalan asma lemah yang mungkin disebabkan perbezaan tanggapan mengenai kawalan penyakit itu dan sasaran rawatan oleh pesakit dan pakar perubatan masing-masing.
“Secara am, pesakit hanya mahu sembuh dan mengelak gangguan dalam kegiatan sosial mereka, manakala pakar perubatan menekankan keperluan mengurangkan keradangan salur udara dan responsi keterlaluan bagi mencapai pengawalan asma,” katanya.
“Ini penting bagi kanak-kanak penghidap asma untuk mengurangkan pemodelan semula salur udara yang mungkin menyebabkan gangguan tetap salur udara apabila dewasa,” katanya.
Ubat asma terbahagi kepada dua iaitu kelegaan dan kawalan. Ubat kelegaan mempunyai kesan jangka pendek yang boleh membantu menghentikan gejala yang menyerang manakala ubat kawalan membantu mengawal asma bagi sesetengah tempoh dengan mengurangkan keradangan dan mukus pada salur udara.
Sementara itu, Pengurus Perhubungan Perubatan GSK, Dr Thravin G Nathan berkata, penyakit asma kecil boleh menyebabkan morbiditi tinggi, terutama pada tempoh apabila ia kurang dikawal.
“Ia menyebabkan gangguan kepada aktiviti harian normal dan pendidikan, seterusnya membebankan keluarga kanak-kanak penghidap asma. GSK komited meningkatkan pengurusan dan rawatan asma lebih berkesan dengan menyediakan terapi kawalan peringkat pertama bagi kanak-kanak dan dewasa.
“Kajian secara double-blind plasebo terkawal selama enam bulan yang dijalankan terhadap 34 kanak-kanak berusia enam hingga 24 bulan menunjukkan keberkesanan dan ia selamat digunakan,” katanya.
Soalan Lazim:
Apa itu asma?
Asma adalah penyakit alahan yang mengganggu saluran udara (bronkus). Ketika berlaku tindak balas alahan, bronkus menjadi sempit dan dipenuhi lendir. Ini menyebabkan kesesakan nafas. Serangan asma boleh menakutkan anak kerana perasaan lemas menyebabkan anak panik dan ini membuat pernafasan semakin sukar.
Punca awal menyebabkan alahan, iaitu alergen seperti debunga atau habuk rumah, yang biasanya dibawa oleh angin. Bagi anak menghidap asma, tekanan emosi dan senaman boleh menyebabkan serangan.
Asma biasanya menyerang kanak-kanak berumur dua tahun ke atas. Keadaan ini biasanya masalah keturunan dan disusuli penyakit alahan lain seperti ekzema. Namun, kebanyakan kanak-kanak pulih semakin umur meningkat.
Kebanyakan bayi berumur kurang satu tahun mempunyai bunyi nafas berdehit jika menghidap bronkitis. Ini berlaku apabila saluran udaranya yang kecil menjadi radang.
Adakah keadaan ini serius?
Serangan asma mungkin menakutkan tetapi jika diberi ubat dan nasihat doktor diikuti, anak anda tidak akan menghadapi kerumitan.
Tanda-tanda
1. Sesak nafas
2. Rasa lemas
3. Bunyi nafas yang berdehit
4. Batuk yang berterusan
5. Bibir kelihatan biru (sianosis) disebabkan kekurangan oksigen
Tindakan perlu dilalukan?
Segera bawa anak berjumpa doktor apabila mengalami asma. Jika ia berlaku ketika anak tidur, dudukkan dan sokong belakangnya dengan bantal. Anda juga boleh tundukkan anak di atas kerusi dan lengannya diletakkan pada belakang kerusi supaya beban pada dadanya diringankan. Ini membolehkan otot dada mengeluarkan udara dengan lebih cekap.
Cuba bertenang kerana keresahan hanya membuat anak anda lebih takut. Ketika menunggu doktor, cuba alihkan perhatian anak kepada benda lain, misalnya nyanyikan lagu bagi membantu anak melupakan keadaan nafasnya yang berdehit.
Apakah tindakan doktor?
Doktor mungkin mengesyorkan penggunaan bronkodilator untuk membuka bronkus dengan mengendurkan otot. Dadah ini disedut terus dalam bronkus. Serangan yang teruk mungkin memerlukan rawatan hospital dan dos lebih tinggi diberikan secara sedutan atau titisan intravena.
Jika ada tanda jangkitan dada, antibiotik mungkin disyorkan. Doktor akan menerangkan cara menghalang serangan akan datang dan mungkin menentukan alergen sama ada melalui ujian bagi alergen tertentu seperti debunga dan habuk rumah.
Doktor akan memberi bekalan kecil dadah bronkodilator, sama ada dalam bentuk cecair atau kapsul untuk dimasukkan ke dalam penyedut. Ini harus diambil sebaik serangan bermula. Doktor akan menasihatkan anda supaya memberitahunya jika anak mengalami serangan teruk atau jika serangan tidak reda walaupun anak diberi dua dos bronkodilator.
Doktor mungkin mengesyorkan dadah steroid jika langkah lain tidak dapat menghalang serangan berikutnya. Dos steroid rendah mungkin perlu disedut tiga atau empat kali sehari atau jika tindakan ini tidak berkesan, dos lebih tinggi diberi dalam bentuk pil.
Bagaimana saya boleh membantu?
Jika doktor gagal menentukan alergen, cuba tentukan sendiri dan catat bila serangan berlaku dan waktunya. Pastikan rumah bebas daripada alergen biasa seperti kekabu selain gunakan pembersih vakum untuk membersihkan habuk di rumah.
Kebanyakan pesakit asma alah terhadap haiwan. Jika anda memelihara haiwan kesayangan, minta bantuan rakan menjaganya selama beberapa minggu bagi menentukan sama ada kekerapan serangan asma anak anda berkurangan.
Pastikan anak membawa ubat setiap masa. Maklumkan kepada pihak berkuasa sekolah mengenai kemungkinan serangan ini berlaku dan rujuk kepada pakar fisioterapi supaya anak anda boleh mempelajari cara bernafas untuk membantunya menenangkan diri ketika berlaku serangan.
Galakkan anak duduk atau berdiri tegak supaya paru-parunya mempunyai lebih ruang. Jangan biarkan anak menjadi terlalu gemuk kerana ini membebankan paru-paru.
Senaman ringan membantu pernafasan anak tetapi latihan berat boleh membawa kepada serangan asma.
Selain latihan jasmani, syorkan anak anda memakai lencana ‘Medic Alert’.
Sumber Harian Metro