KENYATAAN MEDIA
SENTIASA MEMPERSIAPKAN DIRI MENGHADAPI FENOMENA PANAS EKSTRIM.
Negara hari ini dikejutkan dengan kehadiran fenomena iklim dimana matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa yang mengakibatkan cuaca panas ekstrem dan diramal akan berlaku sehingga 20 Mac nanti.
Fenomena iklim yang dikenali ‘Equinok’ bakal mengakibatkan peningkatan suhu panas yang mampu memberi tekanan fizikal kepada tubuh badan dan kesihatan manusia termasuk menyebabkan kematian seperti strok haba.
Dalam cuaca panas sebegini, tiada siapa yang terlepas dari risiko menjadi mangsa strok haba. Walau bagaimanapun, mereka yang terlibat dengan aktiviti luar dan terdedah lebih lama dalam cuaca panas adalah lebih berisiko.
Oleh yang demikian, kita semua dinasihatkan agar meminum air kosong dalam kadar yang banyak tanpa menunggu rasa dahaga dan tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang kita lakukan.
Pengambilan minuman yang mengandungi alkohol dan kafein akan menyebabkan badan kita lebih cepat terhidrasi. Kita juga disarankan untuk meminum minuman isotonik kerana ini boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang akibat berpeluh.
Dalam masa terdekat ini terutamanya cuti sekolah, ibubapa perlulah memantau aktiviti anak-anak mereka, kurangkan melakukan aktiviti di luar dan dapatkan rehat yang secukupnya. Bagi menyejukkan tubuh, sentiasalah menggunakan kipas angin dan penghawa dingin serta mandi.
Jika terpaksa melakukan aktiviti di luar, pastikan kita memakai pakaian yang bersesuaian, tidak ketat dan berwarna cerah. Penggunaan topi dan payung juga dapat mengurangkan risiko.
Walaupun diramalkan panas sampai ke petang, kita berharap dan berdoa agar turunnya hujan di tengahari agar dapat menyejukkan cuaca dan suhu seharian. Dalam situasi sekarang, kita hendaklah sentiasa bersedia dan menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Keadaan cuaca panas yang dirasai adalah disebabkan oleh keadaan cuaca kering, tiada hujan yang turun dalam tempoh yang panjang dan kesan fenomena El Nino yang kuat. Fenomena ini bukan baru dan ia akan dirasai setiap tahun iaitu setiap bulan Mac dan September
Walaubagaimanapun, dimaklumkan pada penghujung bulan Mac 2016 fenomena ini dijangka berkurangan berikutan musim peralihan yang akan membawa lebih banyak hujan dan ribut petir pada lewat petang.
YB DR DAROYAH ALWI
Exco Kesihatan Negeri Selangor.
14 Mac 2016
#SihatSelangor #SmartSelangor
No comments:
Post a Comment