KENYATAAN MEDIA
Jumaat minggu ketiga hari penyerahan Bantuan Smart Selangor
Food Stamp.
Bermula 17 Jun ini serentak di 56 Dun seluruh Selangor.
Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin dan peka dengan
kebajikan rakyat Selangor. Kita telah menyusun dan melaksanakan pelbagai
program kebajikan dan insentif yang meliputi segenap lapisan rakyat; bermula
daripada bayi yang baru lahir sehinggalah kepada mereka yang meninggal dunia.
Program Bantuan Makanan Asas 'SMART SELANGOR FOOD STAMP’ ini
merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dan negeri yang pertama di
Malaysia melaksanakannya. Program ini diwujudkan bagi membantu meringankan kos
sara hidup golongan masyarakat yang berpendapatan rendah dan miskin serta
mempunyai anak-anak dan tanggungan yang ramai dan sedang membesar agar mereka
ini sentiasa berkecukupan dan tidak kelaparan. Golongan ini kini semakin
terhimpit dalam kegawatan ekonomi yang parah hasil implementasi GST oleh
kerajaan persekutuan yang mengutip cukai tanpa mengira taraf hidup rakyat
samada senang atau susah tanpa terkecuali.
Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan
merupakan hari penyerahan bantuan makanan asas yang dinamakan Hari SMART
SELANGOR FOOD STAMP’ dan 17 Jun ini merupakan hari penyerahan pertamanya
serentak di 56 DUN seluruh Negeri
Selangor.
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab Pejabat Pusat
Khidmat Masyarakat (PKM) setiap Dun untuk mengenalpasti dan mendapatkan senarai
nama mereka-mereka yang benar-benar layak selain menetapkan lokasi agihan
bantuan tersebut.
Melalui pelaksanaan program hasil cetusan idea Menteri Besar,
Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dibentangkan dalam Belanjawan 2016 pada
sidang Dewan Negeri Selangor November tahun lalu ini, seramai 5,600 keluarga
termiskin di Selangor akan menerima manfaatnya. Ini bermakna, seramai 100 orang
akan menerima bantuan ini daripada setiap 56 DUN yang ada di Selangor ini.
Bagi menjayakan program ini, Kerajaan Selangor telah
memperuntukkan sejumlah dana sebanyak RM3,000,000.00 bagi dikongsi bersama-sama
dengan penerima yang layak. Penerima bakal menerima bantuan berupa barangan
keperluan asas seperti beras 10 kilo, minyak masak, gula, tepong dan lain-lain.
Demi memastikan penerima ini adalah mereka yang benar-benar
layak, kita telah menetapkan kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi. Selain
lahir di Selangor atau telah bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya 10
tahun (perlu pengesahan ADUN / Penghulu / Pengerusi JKKK / Pengerusi Taman) dan
berpendapatan isi rumah RM1,500.00 ke bawah sebulan, ia terbuka kepada semua
kaum dan merupakan pemilih berdaftar di DUN berkenaan.
YB PUAN DR DAROYAH BINTI ALWI
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga
Negeri Selangor
No comments:
Post a Comment