KLANG, 16 NOV: Ibu bapa dan penjaga perlu mencorakkan anak mereka dengan contoh yang baik supaya golongan itu akan menjadi generasi berguna kelak, seterusnya memberi kebanggaan kepada masyarakat dan negara.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, 25 peratus pembentukan kanak-kanak dipengaruhi oleh genetik, manakala 75 peratus lagi adalah pengaruh faktor persekitaran.
Selain itu, katanya, pendedahan kepada pendidikan awal dan pra sekolah juga amat penting supaya anak itu membesar dalam kehidupan yang sempurna.
“Kita selaku penjaga termasuk pendidik perlu sentiasa menerapkan perkara ini dalam membesarkan anak,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat Selangor 2014 di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini, semalam.
Sambutan itu adalah bagi memberi penghormatan serta meraikan generasi kanak-kanak sempena Hari Kanak-kanak Sedunia, pada 20 November ini.
Ia turut diselangi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan nasyid, sesi bercerita, mewarna dan nyanyian.
Katanya, kerajaan turut menggubal Dasar Kanak-kanak Negara yang memberi hak kelangsungan hidup serta perlindungan supaya mereka dapat menikmati peluang untuk mencapai persekitaran kondusif.
“Kita pastikan tumbesaran anak kita terbaik melalui didikan dengan penuh kasih sayang, disiplin dan akhlak untuk membentuk sahsiah yang tinggi. Mereka juga perlu diterap dengan nilai murni dan agama,” katanya.
SUMBER : http://bm.selangorku.com/62951/ibu-bapa-perlu-corak-anak-jadi-generasi-terbaik/
No comments:
Post a Comment