SHAH ALAM, 25 SEP: Sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang sampah secara haram di beberapa lokasi di Dun Sementa semakin agresif.
Sekurang-kurangnya dua lokasi baru pembuangan sampah haram dikenalpasti melibatkan kawasan di Lebuh Sungai Kapar Indah dan jeti nelayan Kampung Batu Empat di wilayah itu.
Gambar yang dikongsikan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi di laman Facebooknya memperlihatkan timbunan sisa sampah bakar setinggi paras lutut dilonggokkan di Lebuh Sungai Kapar Indah.
Dr Daroyah percaya longgokan sampah didalangi pengusaha kereta potong hasil penemuan sisa sampah bakar berupa alat-alat ganti kenderaan.
“Kepada pengusaha dinasihatkan agar bertanggungjawab dan jangan hanya mementingkan keuntungan maksimum dengan memotong kos pembuangan sisa secara haram yang akhirnya akan memberi masalah kepada orang lain seperti pencemaran selain menyusahkan kerja pihak berkuasa tempatan untuk membersihkannya berulang kali,” katanya.
Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memanggil pengusaha-pengusaha kereta potong untuk berdialog dan sesi taklimat demi memastikan masalah ini dapat diselesaikan
Manakala di Kampung Batu Empat, timbunan sampah dari pelbagai jenis material tinggi membukit hingga menjejaskan periuk nasi nelayan.
Selangor Kini difahamkan, timbunan sampah turut dibakar sekaligus mencemar persekitaran setempat dengan bau busuk dan asap tebal.
“Lebih menyedihkan ia merosakan ekosistem setempat terutamanya nelayan yang menjadikan hasil laut sebagai sumber pendapatan mereka.
“Sampel kualiti paras pencemaran yang diambil dari kawasan itu akan dibawa ke makmal untuk dikaji sama ada mengandungi sisa toksik yang membahayakan kesihatan,” jelasnya.
Selain pemantauan berterusan, Dr Daroyah mendesak MPK mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera supaya kejadian sebegini tidak berulang di masa hadapan.
Sebelum ini, Dr Daroyah telah meninjau lokasi pembuangan dan pembakaran sampah haram di Kampung Batu Empat bersama Pasukan Pantas MPK dan petugas Jabatan Alam Sekitar Selangor sejurus menerima aduan penduduk setempat.
HM
No comments:
Post a Comment