Tuesday, 12 November 2013

Mendengar keluhan dan masalah peniaga.

TARIKH : 10 November 2013 (Ahad) 11.30am.
AKTIVITI : Turun padang mendengar masalah 100 peniaga. 
LOKASI : Pantai Remis, Jeram.

Para peniaga di Pantai Remis Jeram memohon agar notis pengosongan premis oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) terhadap mereka pada 11.11.2013 (Isnin) hari ini, dapat ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun nanti.  

Beberapa wakil mereka hadir menghantar memorandum semasa program perasmian Kempen Ayuh Gempur Aedes Peringkat Daerah Kuala Selangor, semalam.

Hasil lawatan ke lokasi, peniaga melahirkan rasa tidak puas hati kerana notis pengosongan diberikan kepada mereka dalam tempoh masa yang singkat.

Selain daripada itu, mereka tidak bersetuju dengan lokasi penempatan semula yang disediakan pihak MDKS, mereka kurang memahami susunan mengikut jenis jualan yang telah ditetapkan dan merasakan susunan tersebut tidak bersesuaian.

MDKS juga dilaporkan hanya menyediakan kira-kira 72 tapak niaga sedangkan peniaga asal yang mencari rezeki di sini mencecah 140 peniaga.

Bagi memastikan keadilan sentiasa diutamakan, pihak Exco telah menghubungi MDKS bagi mendapatkan penerangan dan penjelasan dari pihak mereka. Sebuah perjumpaan akan dilakukan dalam masa yang terdekat bagi membincangkan masalah ini.

Saya difahamkan bahawa para peniaga di sana tidak sesekali menolak pembangunan, MDKS juga telah bertolak ansur dan bersetuju untuk menangguhkan pengosongan premis sehingga satu keputusan muktamad ditetapkan.

Dengan keterbukaan yang ditunjukkan kedua-dua belah pihak ini, saya yakin satu keputusan win-win situation yang adil bakal diperoleh dan mendapat persetujuan bersama.

Semoga usaha ini dipermudahkan dan sentiasa mendapat keredhaan Allah, ameen...







No comments:

Post a Comment