1. Apa itu demam denggi ?
Demam denggi adalah disebabkan oleh virus denggi. Ia merebak melalui gigitan nyamuk aedes. Dianggarkan terdapat lebih 100 juta kes denggi di serata dunia setiap tahun.
2. Bagaimanakah untuk mengetahui saya berkemungkinan menghidap demam denggi?
Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas 5-6 hari gigitan nyamuk seperti:
- Demam panas
- Sakit kepala
- Sakit tulang belakang
- Sakit sendi-sendi
- Loya dan muntah-muntah
- Sakit biji mata
- Ruam
3. Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?
Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut. Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:
- Mudah lebam
- Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
- Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut
4. Apakah rawatan untuk demam denggi?
Masih tiada rawatan khas untuk demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Pesakit akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan minum air. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah.
5. Apakah perlu saya lakukan untuk mencegah demam denggi?
Terdapat pelbagai jenis cara untuk mencegah demam denggi :
a. Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
- Membuang bekas yang boleh menakung air
- Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan ditutup bersama penutup
- Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan air dibuang sekurang-kurangnya seminggu sekali
- Pastikan saliran atap sentiasa mengalir
- Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
b. Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
c. Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti
- Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
- Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk
- Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah
- Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup
No comments:
Post a Comment