Wednesday, 20 November 2013

Mini Karnival Usahawan Wanita Desa (MKUWD) 2013

TARIKH : 16 November 2013 (Sabtu) 3.00 petang.
AKTIVITI : Mini Karnival Usahawan Wanita Desa (MKUWD) 2013.
LOKASI : Taman Nilam, Tanjung Karang.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Pusat Komuniti Wanita Dun Permatang dan Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang telah menganjurkan Mini Karnival Usahawan Wanita Desa (MKUWD) 2013 di Taman Nilam, Tanjung Karang.

Karnival dua hari bermula 15 November 2013 itu telah berjaya menarik minat kira-kira 70 usahawan termasuk 10 dari agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) untuk turut serta memeriahkan majlis.

Exconya, Dr Daroyah Alwi berkata, selain kejayaan menarik ramai pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik, program ini juga telah berjaya mengumpulkan seterusnya mengenalpasti usahawan-usahawan Selangor khususnya usahawan wanita dari sekitar Tanjung Karang. 

“Produk-produk mereka akan dikenalpasti sama ada berpotensi untuk diketengahkan mahupun tidak, sekiranya dilihat berpotensi, kita akan serapkan mereka dalam Program Peningkatan Keupayaan Reka Bentuk Pembungkusan Produk Usahawan (4P) Negeri Selangor. 

“Mereka akan dipandu dari segi pengupayaan produk, pembungkusan dan penlabelan demi menjadikan produk mereka mampu berdaya saing bersama produk-produk sedia ada di pasaran,” katanya semasa merasmikan MKUWD 2013 baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti dan acara menarik telah dijalankan antaranya persembahan masakan oleh chef selebriti, pertunjukan kesenian dan kebudayaan artis tempatan, kuliah santai oleh ustaz selebriti, pertunjukan permainan internet, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertandingan bercerita.   

Dr Daroyah yang juga Adun Sementa turut dibawa melawat kebun dan kolam ikan yang diusahakan seorang usahawan tani muda yang mengusahakan tanaman cili, kacang bendi dan perusahaan ikan air tawar. 

“Ia sesuatu yang sangat istimewa apabila masih ada lagi anak muda yang tidak hairan untuk memilih untuk berpanas, berhujan dan berlumpur demi berbakti kepada tanah.

“Dengan berbekalkan ilmu dan pengetahuan, anak-anak muda ini mampu merancang satu gerak kerja pemasaran dengan baik, hari ini keberanian mereka itu telahpun menampakkan hasil,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa bersifat terbuka untuk membantu dan memberi sokongan serta dorongan kepad usahawan-usahawan muda yang semangat ini agar mereka terus kehadapan, maju dan berdaya saing.

Dr Daroyah berharap agar mini karnival seperti ini dapat dilaksanakan di setiap daerah seluruh Negeri Selangor secara berperingkat.

“Melihat kepada kejayaan dan sambutan yang memberangsangkan di sini, usaha ini wajar diteruskan agar usahawan-usahawan kita ini akan terus dibimbing dan dipacu lebih kehadapan untuk mengetengahkan produk masing2,” katanya.




























No comments:

Post a Comment