Monday 15 December 2014

Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, SUK.














Warga emas adalah sebahagian daripada ahli masyarakat. Mereka mempunyai banyak pengalaman dan kemahiran. Sumbangan mereka kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara begitu banyak. Walaupun mereka mungkin sudah berumur, mereka boleh menjadi penasihat utama kepada keluarga dan tidak keterlaluan jika dikatakan yang mereka ini adalah aset negara yang paling berharga. Sebab itu saya beri cadangan tema Majlis Sambutan ini adalah Bakti Disanjungi. 


Senario Penuaan Penduduk di Selangor

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, 4 tahun lepas seramai 5,345,454 orang yang tinggal di negeri Selangor yang paling tinggi daripada negeri lain. 327,703 orang berumur 60 tahun dan ke atas adalah sebahagian daripada penduduk Selangor. 

Tambahan penduduk yang paling pesat bagi tempoh 1991 - 2000 adalah bagi negeri Selangor (6.02 peratus setahun). Bagi negeri Selangor kepesatan pertambahan penduduk ini adalah disebabkan oleh pembangunan dan perkembangan industri yang pesat serta bertambahnya kawasan perumahan dan kemasukan penduduk dari negeri lain.

Peranan Warga emas masih lagi diperlukan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, bertoleransi, yang mana masyarakatnya berkeyakinan, mempunyai nilai-nilai moral serta etika yang utuh dan mampu menjamin kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Kami tidak lupa jasa baik warga emas dan sukarelawan warga emas telah mengorbankan masa, tenaga dan wang dengan komitmen tinggi sejajar tema Baktimu Disanjungi. Oleh itu, kami memberi penghargaan kepadanya iaitu Tokoh Anugerah Warga Emas Cemerlang, Penghargaan Penghuni Institusi Warga Emas Cemerlang, Penghargaan Sukarelawan Warga Emas Cemerlang dan Penghargaan Pusat Aktiviti Warga Emas.

Justeranya, kami berharap warga emas dan sukarelawan terus menyumbang kepada negara, tidak kiralah dalam apa jua bentuk pun, maka kita perlulah mencadangkan apa yang boleh mereka sumbangkan.

Selain itu, Tuan-tuan dan Puan-puan, saya juga mengharapkan agar sektor korporat dan swasta turut bersama-sama kita dalam memberikan pengiktirafan, sokongan dan bantuan kepada setiap warga emas yang memerlukannya. Sokongan semua adalah kekuatan kepada warga emas ini dalam menentukan mereka tidak tertekan dari segi emosi, kewangan dan kesihatan dengan menyediakan berbagai-bagai kemudahan dan bantuan sehingga akhir hayat mereka.

Di sini juga saya sekali lagi, mengingatkan betapa pentingnya kita mengambil berat mengenai segala keperluan dan kehendak warga emas ini. Kita juga akan menempuhi usia emas ini dan pastinya kita mengharapkan perhatian dan layanan yang terbaik daripada anak-anak serta ahli masyarakat sekeliling kita. Justeru, hargailah golongan ini, sayangi mereka dan jadikan mereka warga emas yang aktif dan produktif terhadap pembangunan negara. Apa yang kerajaan lakukan hari ini, adalah tanda ingatan serta pengiktirafan terhadap sumbangan warga emas ini sepanjang usia mereka.

Kepada semua penerima anugerah pada tahun ini, syabas sekali lagi saya ucapkan. 

Ketahuilah dan berbesar hatilah bahawa generasi muda yang ada sekarang adalah bukti kejayaan dan ketabahan anda semua.


Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Sebagai kesimpulan, kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas. 

Sehubungan itu, adalah menjadi obligasi sosial dan komitmen Kerajaan untuk menyediakan persekitaran kondusif sebagai tanda pengiktirafan bagi membolehkan warga emas kita menua secara aktif, produktif dan sihat.

Seterusnya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Warga Emas 2014 Peringkat Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, agensi-agensi kerajaan dan swasta, NGO’s dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis sambutan pada kali ini. 

Sekianlah sahaja memohon ampun dan maaf jika ada sebarang kekurangan di dalam penganjuran majlis pada petang ini dan jika terdapat kesilapan tutur bicara di dalam persembahan ucapan saya sebentar tadi. 

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas 2014 Peringkat Negeri Selangor ini.


END/

No comments:

Post a Comment