Monday 6 June 2016

Jumaat minggu ketiga hari penyerahan Bantuan Smart Selangor Food Stamp

KENYATAAN MEDIA
Jumaat minggu ketiga hari penyerahan Bantuan Smart Selangor Food Stamp.
Bermula 17 Jun ini serentak di 56 Dun seluruh Selangor.

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin dan peka dengan kebajikan rakyat Selangor. Kita telah menyusun dan melaksanakan pelbagai program kebajikan dan insentif yang meliputi segenap lapisan rakyat; bermula daripada bayi yang baru lahir sehinggalah kepada mereka yang meninggal dunia.

Program Bantuan Makanan Asas 'SMART SELANGOR FOOD STAMP’ ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dan negeri yang pertama di Malaysia melaksanakannya. Program ini diwujudkan bagi membantu meringankan kos sara hidup golongan masyarakat yang berpendapatan rendah dan miskin serta mempunyai anak-anak dan tanggungan yang ramai dan sedang membesar agar mereka ini sentiasa berkecukupan dan tidak kelaparan. Golongan ini kini semakin terhimpit dalam kegawatan ekonomi yang parah hasil implementasi GST oleh kerajaan persekutuan yang mengutip cukai tanpa mengira taraf hidup rakyat samada senang atau susah tanpa terkecuali.

Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa  hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan merupakan hari penyerahan bantuan makanan asas yang dinamakan Hari  SMART  SELANGOR FOOD STAMP’ dan 17 Jun ini merupakan hari penyerahan pertamanya serentak di 56 DUN seluruh  Negeri Selangor.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) setiap Dun untuk mengenalpasti dan mendapatkan senarai nama mereka-mereka yang benar-benar layak selain menetapkan lokasi agihan bantuan tersebut. 

Melalui pelaksanaan program hasil cetusan idea Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dibentangkan dalam Belanjawan 2016 pada sidang Dewan Negeri Selangor November tahun lalu ini, seramai 5,600 keluarga termiskin di Selangor akan menerima manfaatnya. Ini bermakna, seramai 100 orang akan menerima bantuan ini daripada setiap 56 DUN yang ada di Selangor ini.

Bagi menjayakan program ini, Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sejumlah dana sebanyak RM3,000,000.00 bagi dikongsi bersama-sama dengan penerima yang layak. Penerima bakal menerima bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras 10 kilo, minyak masak, gula, tepong  dan lain-lain.
Demi memastikan penerima ini adalah mereka yang benar-benar layak, kita telah menetapkan kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi. Selain lahir di Selangor atau telah bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun (perlu pengesahan ADUN / Penghulu / Pengerusi JKKK / Pengerusi Taman) dan berpendapatan isi rumah RM1,500.00 ke bawah sebulan, ia terbuka kepada semua kaum dan merupakan pemilih berdaftar di DUN berkenaan.

YB PUAN DR DAROYAH BINTI ALWI
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor


Wednesday 23 March 2016

UCAPAN PEMBUKAAN YBDD SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA 2016 PERINGKAT NEGERI SELANGOR

UCAPAN PEMBUKAAN

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA

PERINGKAT NEGERI SELANGOR

Hotel Grand Dorsett, Subang

22 Mac 2016


Assalamua’alaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

1. Alhamdulillah, pada petang yang berbahagia ini dapat kita berkumpul dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2016 Peringkat Negeri Selangor dengan tema #PledgeForParity “Celebrating Women’s Courage”. 

2. Kita meraikan Sambutan Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mac setiap tahun bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh wanita dalam masyarakat dan negara dari sudut sosial, ekonomi, budaya dan politik.

3. Wanita membentuk hampir separuh populasi dunia. Namun jurang kesaksamaan gender amatlah lebar sehingga Forum Ekonomi Dunia pada tahun 2015 menjangkakan kesaksamaan gender hanya boleh dicapai 

4. Ini menunjukkan bahawa dunia memerlukan komitmen dan usaha berterusan yang berpanjangan daripada semua pihak bagi memulihkan persepsi dan diskriminasi terhadap wanita.

5. Dengan bertemakan #PledgeForParity atau #IkrarUntukKesaksamaan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2016 mengajak semua pihak untuk membuat ikrar bagi mencapai kesaksamaan gender dan keadilan buat wanita.

6. Antara ikrar tersebut adalah :

7. Pertama, berikrar untuk membantu golongan wanita dan kanak-kanak perempuan mencapai cita-cita mereka. Segala usaha dan galakan ke arah mencapai cita-cita mereka, wajar disokong.

8. Kedua, berikrar untuk mencabar persekitaran yang berat sebelah samada secara kita sedari mahupun tidak. Persekitaran yang adil kepada wanita dan kanak-kanak perempuan samada di rumah, di sekolah, di tempat kerja atau di tempat awam hendaklah diwujudkan dan persekitaran yang mendiskriminasi 

9. Ketiga, berikrar untuk menuntut kepimpinan gender yang seimbang. Semua pihak terutama kepimpinan parti-parti politik, organisasi, badan-badan korporat dan kerajaan dituntut untuk melibatkan golongan wanita diperingkat pembuat keputusan sekurang-kurangnya pada tahap 30%.

10. Keempat, berikrar untuk menghargai sumbangan wanita dan lelaki secara adil.

11. Dan kelima, berikrar bagi mewujudkan persekitaran yang inklusif dan budaya yang fleksible dalam organisasi masing-masing.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kesaksamaan Gender dan Kempen HeForShe

12. Kesaksamaan gender sebenarnya adalah isu hak asasi manusia yang mempunyai impak dalam kehidupan kita samada lelaki mahupun wanita. Apabila kesaksamaan gender dicapai, semua pihak akan beroleh manfaat dari segi sosial, politik dan ekonomi.

13. Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan kempen HeForShe pada 2 Februari yang lalu bagi menyahut seruan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan menggalakkan penglibatan golongan lelaki sebagai stakeholder dalam usaha bersama ke arah kesaksamaan gender.

14. Kempen ini memberi pendedahan kepada golongan pembuat keputusan dan pengurusan tertinggi organisasi samada dari jabatan dan agensi Kerajaan mahupun badan berkanun dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri akan kepentingan sokongan dan keperluan dasar yang mesra gender pentadbiran yang menyokong ke arah kesaksamaan gender.

15. Kempen ini telah mencapai 1.3 juta komitmen dari seluruh dunia yang berikrar untuk mewujudkan dunia yang saksama bagi golongan lelaki dan wanita. Semua pihak digesa mengambil peranan dan melakukan tindakan sebagai tanda solidariti terhadap kempen HeForShe ini. Diharapkan komitmen ini dapat diterjemahkan kepada suatu tindakan yang hakiki. 

Puan-puan dan Tuan –tuan yang dihormati sekalian,

16. Hari ini Kerajaan Negeri mengambil semangat dan ketokohan seorang remaja berusia 19 tahun dari Pakistan, Malala Yousafzai seorang aktivis dan tokoh hak asasi manusia yang memperjuangkan hak bagi kanak-kanak perempuan untuk ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan sebagai ikon untuk meraikan pencapaian wanita pada Hari Wanita Sedunia ini.

17. Beliau merupakan pemenang Hadiah Keamanan Nobel termuda dalam sejarah dunia. Beliau menerima anugerah ini pada tahun 2014 pada ketika usia beliau 17 tahun, iaitu dua tahun selepas beliau ditembak di kepala oleh tentera Taliban ketika pulang dari sekolah.

18. Beliau telah menjadi sasaran puak Taliban setelah kelantangan beliau dalam memperjuangkan hak kanak-kanak perempuan untuk ke sekolah. 

19. Walaupun muda, namun ketokohan Malala terlihat sejak awal lagi. Beliau pernah menyampaikan satu ucapan bertajuk “How dare the Taliban take away my basic right to education?” selepas serangan Taliban terhadap sekolah kanak-kanak perempuan di Lembah Swat.

20. Hari ini kita menjemput khas Tuan Khalid Jaafar, Pengarah Strategi Pejabat Dato’ Menteri Besar yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar bagi mengupas kisah dan pengajaran daripada buku “I Am Malala” yang telah ditulis sendiri oleh Malala Yousafzai.

21. Diharapkan agar kita semua pada hari ini dapat belajar sesuatu daripada realiti kisah perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh wanita muda ini. Sebuah keberanian dan ketokohan yang wajar kita raikan dan jadikan contoh tauladan. Semoga kita dapat sampaikan kisah ini kepada anak-anak kita agar menjadi satu motivasi dan kekuatan untuk mereka berjaya dalam pelajaran, berani memperjuangkan hak mereka dan menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara. 

The Global Gender Gap Index 2015 

22.  Berdasarkan The Global Gender Gap Index 2015 yang dikeluarkan oleh World Economic Forum, Malaysia berada di kedudukan 111 berbanding kedudukan ke 107 pada tahun 2014 daripada 145 buah negara dengan skor kesaksamaan gender sebanyak 0.65. 

23.  Kerajaan Malaysia harus memperbaiki dasar-dasar sediada dalam usaha memperbaiki taraf hidup wanita di Malaysia dan memberikan keadilan yang sewajarnya kepada golongan wanita.  

Inisiatif Kerajaan Negeri

24. Di Negeri Selangor, kita mempunyai beberapa inisiatif ke arah mengurangkan jurang gender serta sokongan ke arah perubahan dasar yang mesra gender.

25. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali  dalam Belanjawan 2016 telah mengumumkan bantuan dana berjumlah RM50,000.00 kepada badan NGO yang menyediakan khidmat crisis intervention serta kesedaran awam untuk melindungi wanita dan kanak-kanak sebagai satu penghargaan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyantuni kaum wanita dan kanak-kanak serta menyokong usaha membantu mangsa-mangsa keganasan.

26. Kerajaan Negeri Selangor juga prihatin kepada cabaran wanita bekerjaya masa kini yang menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negeri dan akan memperkenalkan program Selangor Homemaker iaitu program yang menyediakan pilihan waktu kerja anjal ditempat kerja agar wanita dapat terus menyumbang kepada negeri disamping menjaga kemaslahatan keluarga.

27. Langkah ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan tenaga kerja wanita kekal dan terus meningkat dalam pasaran kerja yang mana pada ketika ini penglibatan kaum wanita dalam pasaran kerja di Malaysia adalah pada kadar 53.6%.

28. Malaysia telah meletakkan sasaran 55% penglibatan wanita dalam pasaran kerja pada tahun 2015. Menurut World Bank Study pada tahun 2012, Malaysia mampu mencapai dividen pertumbuhan sebanyak 0.4% setahun dengan penglibatan tenaga kerja wanita yang lebih tinggi dalam pasaran kerja

Hadirin yang dikasihi sekalian,

29. Kerajaan Negeri Selangor menyedari akan perlunya usaha berganda pemberdayaan wanita dalam aspek ekonomi dan politik. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mewujudkan Pusat Wanita Berdaya (PWB) sebagai sebuah pusat pemberdayaan dan pembangunan kapasiti wanita dalam pelbagai aspek termasuk jati diri, ekonomi, sosial dan politik. 

30. Dengan peruntukan RM 3 juta setiap tahun, perancangan pembangunan dan program-program pemberdayaan wanita di Negeri Selangor dapat dijalankan. PWB mensasarkan golongan ibu tunggal, surirumah, wanita muda, wanita yang berniaga dan wanita bekerjaya untuk sama – sama membangun diri dan mempersiap diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang dapat memberi nilai tambah dalam pembangunan sahsiah diri dan keluarga.

31. PWB juga menumpukan kepada aspek pembangunan ekonomi keluarga dengan menyediakan ilmu – ilmu kemahiran yang boleh menjana pendapatan keluarga. Pelbagai aktiviti dan program telah dijalankan disetiap PWB DUN masing – masing. Pada tahun 2015 sahaja, sebanyak 740 buah program kemahiran dan latihan telah dilaksanakan di semua 56 PWB dengan peruntukan RM1.2 juta.

32. Kerajaan Negeri Selangor juga telah menerapkan dasar 30% wanita diperingkat pembuat keputusan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Walaupun Exco kalangan Wanita dalam kepimpinan Kerajaan Negeri mewakili 18.2%, namun Selangor merupakan negeri pertama yang melantik seorang wanita sebagai Speaker Dewan Negeri serta mempunyai 14 orang ADUN wanita iaitu 25 % wanita berbanding ADUN lelaki. Manakala sebanyak 62 orang Ahli Majlis merupakan wanita dalam kalangan 279 orang Ahli Majlis di Negeri Selangor atau 22%.

33. Negeri Selangor juga melantik Pegawai Daerah wanita yang pertama iaitu Pegawai Daerah Sepang, Puan Ruslinah Mat Jani serta dua orang Yang DiPertua Majlis dalam kalangan wanita iaitu di Majlis Daerah Kuala Selangor, Puan Noraini Binti Roslan dan Majlis Daerah Sabak Bernam, Puan Azlinda 

34. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh wanita untuk memimpin organisasi mereka. Senantiasa membuka ruang dan peluang untuk bersama menyumbang kepada pembangunan dan 

35.  Akhir kata, saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada seluruh wanita di atas segala sumbangan, kasih sayang, perhatian dan ihsan yang diberikan kepada anak-anak, ahli keluarga, masyarakat dan negara. 

36. Dengan ini saya merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2016 Peringkat Negeri Selangor. SELAMAT HARI WANITA !











Tuesday 15 March 2016

GEJALA DENGGI, 115 TANAH LOT KOSONG PERLU DIBERSIHKAN

KENYATAAN MEDIA
GEJALA DENGGI, 115 TANAH LOT KOSONG PERLU DIBERSIHKAN

Terdapat 115 tanah lot kosong yang terbiar dan dikenalpasti menjadi antara salah satu faktor peningkatan kes demam denggi di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, 64 daripadanya dikenalpasti di Petaling, 11 tanah lot di Gombak, 10 tanah lot di Sabak Bernam, 9 tanah lot di Hulu Selangor dan masing-masing 5 tanah lot di Hulu Langat, Klang, Kuala Langat dan Sepang selain 1 tanah lot di Kuala Selangor yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada jabatan kesihatan mahupun jabatan sisa pepejal agar segera mengambil tindakan ke atas lokasi-lokasi berkenaan kerana dikhuatiri disebalik semak dan rumput yang tinggi, dibawahnya terdapat takungan-takungan air yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Mana-mana pemilik tanah lot yang terlibat akan diberikan notis selama 14 hari untuk melakukan pembersihan. Notis akan diberikan kepada pemilik melalui 3 cara iaitu serahan secara terus, pos dan notis papan tanda di lot tanah yang terlibat.

Jika dalam masa tersebut, tiada sebarang tindakan pembersihan yang diambil pemilik, PBT berhak mengenakan kompaun selain lokasi tersebut tetap perlu dibersihkan pemilik.

PBT akan bertindak untuk turun melaksanakan pembersihan di kawasan tersebut sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan pemilik dalam tempoh bertenang selama 14 hari daripada hari kompaun dikeluarkan yang kosnya akan dituntut semula kepada pemilik.

Keengganan pemilik untuk melunaskan bayaran pembersihan akan menyukarkan mereka untuk melunaskan cukai pintu dan cukai taksiran di PBT.

Sehingga 7 Mac lalu, lebih 50 peratus iaitu 66 daripada 115 tanah lot kosong berkenaan telahpun dibersihkan.

Orang awam juga boleh melaporkan lokasi-lokasi wabak yang berada di sekitar mereka terus kepada laman facebook Selangor Bebas Denggi ( https://www.facebook.com/selangorbebasdenggi ).

Laman berkenaan juga berfungsi sebagai medium hebahan bagi mempromosikan segala program gotong-royong membenteras denggi yang bakal dilaksanakan. Dengan wujudnya medium ini, kita mengharapkan penglibatan daripada masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha menurunkan bilangan kes wabak denggi di negeri ini.


YB DR DAROYAH ALWI
Exco Kesihatan Negeri Selangor
15 Mac 2016
#SelangorBebasDenggi 
#SihatSelangor 
#SmartSelangor

Monday 14 March 2016

EQUINOK - SENTIASA MEMPERSIAPKAN DIRI MENGHADAPI FENOMENA PANAS EKSTRIM


KENYATAAN MEDIA
SENTIASA MEMPERSIAPKAN DIRI MENGHADAPI FENOMENA PANAS EKSTRIM.

Negara hari ini dikejutkan dengan kehadiran fenomena iklim dimana matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa yang mengakibatkan cuaca panas ekstrem dan diramal akan berlaku sehingga 20 Mac nanti.

Fenomena iklim yang dikenali ‘Equinok’ bakal mengakibatkan peningkatan suhu panas yang mampu memberi tekanan fizikal kepada tubuh badan dan kesihatan manusia termasuk menyebabkan kematian seperti strok haba.

Dalam cuaca panas sebegini, tiada siapa yang terlepas dari risiko menjadi mangsa strok haba. Walau bagaimanapun, mereka yang terlibat dengan aktiviti luar dan terdedah lebih lama dalam cuaca panas adalah lebih berisiko.

Oleh yang demikian, kita semua dinasihatkan agar meminum air kosong dalam kadar yang banyak tanpa menunggu rasa dahaga dan tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang kita lakukan.

Pengambilan minuman yang mengandungi alkohol dan kafein akan menyebabkan badan kita lebih cepat terhidrasi. Kita juga disarankan untuk meminum minuman isotonik kerana ini boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang akibat berpeluh.

Dalam masa terdekat ini terutamanya cuti sekolah, ibubapa perlulah memantau aktiviti anak-anak mereka, kurangkan melakukan aktiviti di luar dan dapatkan rehat yang secukupnya. Bagi menyejukkan tubuh, sentiasalah menggunakan kipas angin dan penghawa dingin serta mandi.

Jika terpaksa melakukan aktiviti di luar, pastikan kita memakai pakaian yang bersesuaian, tidak ketat dan berwarna cerah. Penggunaan topi dan payung juga dapat mengurangkan risiko.

Walaupun  diramalkan panas sampai ke petang, kita berharap dan berdoa agar turunnya hujan di tengahari agar dapat menyejukkan cuaca dan suhu seharian. Dalam situasi sekarang, kita hendaklah sentiasa bersedia dan menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Keadaan cuaca panas yang dirasai adalah disebabkan oleh keadaan cuaca kering, tiada hujan yang turun dalam tempoh yang panjang dan kesan fenomena El Nino yang kuat. Fenomena ini bukan baru dan ia akan dirasai setiap tahun iaitu setiap bulan Mac dan September

Walaubagaimanapun, dimaklumkan pada penghujung bulan Mac 2016 fenomena ini dijangka berkurangan berikutan musim peralihan yang akan membawa lebih banyak hujan dan ribut petir pada lewat petang.


YB DR DAROYAH ALWI
Exco Kesihatan Negeri Selangor.
14 Mac 2016
#SihatSelangor #SmartSelangor

Wednesday 27 January 2016

APA NAK JADI DENGAN KERAJAAN SELANGOR HARI NI?? CUKAI PON DIKECUALIKAN

APA NAK JADI DENGAN KERAJAAN SELANGOR??!!


Pagi tadi lepas sarapan aku pergi pejabat pos. da setel urusan bil di pejabat pos, hala tuju seterusnya ke MBSA untuk lunaskan cukai taksiran.
macam biase brader, ambil nombor giliran.. usha2 jodoh sepandang dua.. lebih kurang 10 minit, nombor aku di panggil.
awek kaunter tu tanye "nak bayar setahun atau separuh?"
aku jawab "ikut bil lah senang rm152.40".
sambil belek2 duit kat dompet, dalam hati memberontak juga. mane tak serabut, dalam setahun je berapa cukai nak kene hadap, tu belum cukai harian lagi. tapi aku rilek sambil senyum, hulur gak duit kat kaunter.
"rumah kos rendah?" dia tanya lagi. aku mengiyakan.
lantas bill tadi di pulangkan balik pada aku, dan berkata "cukai untuk tahun 2016 , kerajaan Selangor dah bayarkan.."
p/s- tu je nak kongsi, duit tu boleh beli barang untuk perbelanjaan dapur atau anak pokok lemon yg aku dah lama mengidam nak beli..

sumber : https://www.facebook.com/ayensteel?fref=ts


Tahniah rakyat Selangor! anda layak menerima segala kebaikan ini kerana kebijaksanaan dan kematangan anda memilih dalam PRU-13 lalu. Tahniah!