Friday 28 November 2014

Lulus peruntukan RM2,815,462.74 untuk PWB

KENYATAAN MEDIA
YB PUAN DR DAROYAH BINTI ALWI
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP KESIHATAN, KEBAJIKAN,
HAL EHWAL WANITA DAN KELUARGA
NEGERI SELANGOR


Berdasarkan ucapan penggulungan Dato’ Menteri Besar, Y.A.B Tuan Mohamed Azmin Ali semalam, sukacita dimaklumkan  bahawa Program Pusat Wanita Berdaya (PWB) Negeri Selangor telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Khas Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi dan diperuntukkan bajet sejumlah RM2,815,462.74 untuk kos operasi bagi tahun 2015.

Bagi meningkatkan keaktifan Program PWB sehingga ke akar umbi, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia akan melaksanakan proses pelantikan peringkat Negeri seorang Pegawai Tadbir (N41), seorang Penolong Pegawai Tadbir (N27), seorang Pembantu Tadbir (N17) selain 56 orang penyelaras PWB yang dicalonkan sendiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN)  secara Contract for Service dengan bayaran elaun RM1,500.00 setiap bulan pada awal tahun 2015.

Penyelaras PWB yang dilantik akan ditempatkan di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) mengikut DUN bagi menjalankan tugas, mereka boleh mengguna pakai kemudahan dan kelengkapan pejabat di setiap PKM di DUN masing-masing.
Prestasi penyelaras ini akan dipantau melalui keaktifan aktiviti yang dijalankan. Sekiranya PWB di DUN yang dilantik tidak menjalankan aktiviti mingguan melebihi 3 kali berturut-turut, perkhidmatan penyelaras tersebut akan ditamatkan dan akan diganti dengan penyelaras yang baru.

Peruntukan akan disalurkan melalui permohonan kertas kerja program yang dihantar oleh PWB. Setiap PWB akan diperuntukkan sebanyak RM30,000.00 setahun. Peruntukan yang disediakan adalah untuk melaksanakan program mengikut 12 bidang fokus yang telah ditetapkan serta aktiviti di peringkat komuniti yang ditetapkan di bawah Perancangan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita merangkumi program di peringkat DUN seperti Memogram, One Stop Crisis Center (OSCC), Lawatan Turun Padang YB Exco, Program Peringkat Negeri dan program-program yang diarahkan dari semasa ke semasa.

Struktur PWB sedia ada ditambah baik dengan melibatkan penglibatan Pejabat Tanah Dan Daerah sebagai agen mengaktifkan dan pemantau pelaksanaan PWB di peringkat DUN. Struktur yang baru selaras dengan keputusan MMKN yang telah disahkan pada Bil.14/ 2014 yang melibatkan Pejabat Tanah dan Daerah bertarikh 23 April 2014.

Pusat Komuniti Wanita (PKW) yang telah diwujudkan sejak tahun 2009 di lapan (8) DUN sebagai pilot program di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, ia telah ditukar kepada nama yang baru dengan panggilan Pusat Wanita Berdaya (PWB) merupakan penjenamaan semula bersama-sama Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor mulai tahun 2011.
Penjenamaan semula yang dikenali sebagai PWB ini dilaksanakan dengan objektif serta fungsi yang sama tetapi ditambah baik mengikut keperluan. Objektif penubuhan PWB ini adalah untuk menggalakkan wanita di sesuatu komuniti untuk bergiat aktif dan melaksanakan aktiviti yang boleh mendatangkan pendapatan kepada komuniti tersebut atau kepada individu.

Justeru itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita telah mengenal pasti 12 bidang keutamaan yang lebih fokus akan dilaksanakan sebagai aktiviti di PWB.

1)   Ekonomi
2)   Pekerjaan Dan Sektor Informal
3)   Hak, Keselamatan Dan Undang-Undang
4)   Pendidikan Dan Latihan
5)   Politik Dan Pembuat Keputusan
6)   Sosial, Budaya Dan Agama
7)   Keluarga
8)   Kesihatan
9)   Sukan Dan Rekreasi
10) Melonjak Daya Upaya Intelektual Dan Profesional
11) Pengarus Utamaan Gender Dan Bajet Gender Teknologi, Sains Dan Alam Sekitar.


Bidang-Bidang keutamaan ini dikenal pasti berdasarkan keperluan masa kini, perancangan dan sumbangan wanita Negeri Selangor dalam ekonomi Negeri.

Saturday 22 November 2014

Sihat Selangor 6.0 di Kuala Langat



Pagi tadi bertempat di Dataran Banting, berlangsung Program Sihat Selangor Peringkat Daerah Kuala Langat. MDKL merupakan PBT yang ke-6 menganjurkan kempen ini yang bertujuan mempromosikan kepentingan hidup yang cergas dan aktif secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan faktor dijangkiti penyakit serta dapat megurangkan perbelanjaan rawatan dan perubatan. Tahniah MDKL kerana menyahut seruan Kerajaan Negeri. Amalan gaya hidup yang sihat merupakan kunci utama kepada kesejahteraan insan. 

Program ini juga mengetengahkan Kempen Berjalan 10,000 Langkah sehari kearah gaya hidup sihat. Aktiviti berjalan kaki ini merupakan satua ktiviti rutin harian yang dalam masa yang sama ia merupakan satu senaman semulajadi yang mudah, murah, sihat dan selamat.

Secara puratanya, rakyat Malaysia hanya berjalan 2,000 hingga 3,000 langkah sehari dan itu adalah kurang sihat. Dengan berjalan kaki sebanyak 10,000 langkah yang dianggarkan sejauh 6 hingga 8 kilometer sehari, dapat membantu kita menangani masalah penyakit penyakit kronik tidak berjangkit seperti penyakit jantung, obesiti dan diabetes yang semakin meningkat.

10,000 langkah, walaupun jumlahnya agak besar dan mencemaskan, kita tidak perlu untuk terus melangkah sebanyak itu sekaligus untuk kali pertama. Kita hanya perlu mulakan usaha ini dengan meminimakan penggunaan lif, sebaliknya lebihkan penggunaan tangga dan jadikan aktiviti berjalan kaki ditaman sebagai rutin mingguan kita bersama keluarga. 

Thursday 20 November 2014

Maklumat kebakaran di Hulu Bernam, 2 meninggal dunia. Takziah.


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA 

JENIS INSIDEN: KEBAKARAN RUMAH

ALAMAT: LOT 385A JALAN BESAR 

Penghuni rumah : 16 orang (8 dewasa , 8 kanak)
14 selamat , 2 meninggal dunia, 

Mangsa meninggal :
Muhamad Azuwanis bin ghazali (20 tahun) & Muhamad Nur Arif

Mangsa selamat : 

Dewasa :

En ghazali bin hj ibrahim (61 tahun)
Pn mahahisan binti hj abd rashid (58 tahun)
Pn umi kalsom bintiabd rashid (63 tahun)
Alisa binti ghazali (32 tahun)
Mohd azmir bin ghazali (27 tahun)

Kanak - kanak

Alia syakira binti muhd zuki (7 tahun)
Aqil kisya binti muhd zuki (5 tahun)
Adam zam bin muhd zuki (1 bulan)
Nur afiqa anis mohd azlan (8 tahun)
Nur afiqa aina bin muhd azlan (7 tahun)
Muhamad azerai bin mohd azuai (7 tahun)
Rosazereen Balqis binti mohd azuai (4 tahun)
Rafli bin ghazali (2 tahun)
Pusat Sehenti Pasca Insiden Telah diwujudkan.

1. Tok Penghulu Muhammad telah memaklumkan penggunaa Balai Raya di Kg Hulu Bernam.Keperluan unt melihat electrical n air.

2. JKM telah hadir bg membantu keperluaan asas sekiranya perlu seperti tilam n pakaian.

3.Seperti yg telah dibincangkan bayi akan d pindahkan ke Hospital KKB sebagai penempatan sementara.

4. PKT akan melakukan forging d balai raya tersebut.

5. Pengkebumian akan diuruskan oleh Nazir Masjid n org Kampung.

6. Kutipan dana akan d lakukan bagi membantu mangsa

Tuesday 18 November 2014

Mereka tidak keseorangan dan akan dibantu

ADUN Sementa, YB Puan Dr Daroyah Alwi melawat lokasi kebakaran 3 buah rumah tempohari dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa di alamat no 11, 15 dan 17, Jalan Sg Keramat 7B, Taman Klang Utama.









KENYATAAN MEDIA
YB PUAN DR. DAROYAH BINTI ALWI
 PROGRAM GOTONG–ROYONG MEGA :
”TERJAH & MUSNAH AEDES NEGERI SELANGOR 2014”

Walaupun kita sedar bahawa negeri Selangor merupakan sebuah negeri yang telah membuktikan daya saing yang tinggi untuk menjadi peneraju dalam apa-apa bidang sekalipun yang diceburi, tetapi tidak sama sekali gembira apabila kita turut mendahului statistik wabak denggi di Malaysia.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri serius dalam usaha menangani masalah ini dan telah melipat gandakan usaha dengan melancarkan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 pada 3 November lalu dan disusuli Program Gotong Royong Mega yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negeri Selangor pada Sabtu lalu, 16 November 2014 demi untuk mencapai sasaran dan matlamat iaitu penurunan kes wabak denggi di negeri ini dalam tempoh dua (2) bulan yang akan berakhir pada penghujung Disember 2014.


Datuk Menteri Besar, Tuan Mohamed Azmin Bin Ali memperlihatkan keseriusan beliau dalam usaha menangani isu ini apabila beliau sendiri telah melancarkan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 dan turut turun padang semasa Program Gotong Royong Mega “Terjah Dan Musnah Aedes” di Kampung Klang Gate, Taman Melawati, tempohari.

Saya bersama barisan Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor (Exco) yang lain turut turun terjah ke daerah-daerah lain yang telah ditetapkan bagi memantau perjalanan Program Gotong Royong Mega 2014.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak tidak kira daripada jabatan-jabatan kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT), ahli-ahli Majlis, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, ketua-ketua komuniti, Badan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat - syarikat juga individu persendirian yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi mengangkat usaha kerajaan negeri dengan melaksanakan aktiviti gotong royong di kawasan masing-masing demi mencapai objektif yang telah digariskan.


Program Gotong Royong Mega ini telah melibatkan seluruh 12 PBT di 24 zon setiap PBT, 9 Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, semua ahli majlis PBT dan semua ketua kampung seluruh negeri Selangor. Ia jelas memperlihatkan komitmen dan keseriusan kerajaan negeri demi mencapai objektif yang digariskan.

Walau bagaimanapun dilaporkan masih terdapat beberapa lokasi yang masih belum melaksanakannya kerana faktor-faktor tertentu. Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 belum lagi berakhir sejurus selesainya Program Gotong Royong Mega lepas, tetapi ia akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini dan laporan mingguan akan dibentangkan oleh setiap PBT dan Pejabat Daerah.

Oleh yang demikian, mana-mana pangsapuri, taman-taman perumahan juga kampung-kampung yang masih belum melaksanakan aktiviti gotong royong ini boleh melaksanakannya sehingga kita semua berjaya menjadi faktor penyumbang kepada penurunan kes wabak yang mampu membawa maut ini.

Isu denggi sebenarnya merupakan isu kebersihan. Bukan isu kesihatan semata –mata. Masyarakat harus melakukan satu ‘paradigm shift’ atau anjakan paradigma dalam memahami epidemik ini dan bagaimana mencegahnya.  Daripada fokus kepada aktiviti kawalan; kita buat anjakan paradigma dengan fokus kepada aktiviti pencegahan.

Tanggungjawab menjaga kebersihan ini adalah tanggungjawab kita bersama, ia perlu dilaksanakan di peringkat masing – masing kerana peranan kita semua akan menentukan keberhasilan dan pencapaian pelan tindakan ini. Bersama kita berusaha mewujudkan masyarakat yang sihat dan Negeri yang makmur, bebas daripada wabak denggi.






Sekian, Terima Kasih.


YB PUAN DR. DAROYAH BINTI ALWI.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan,
Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor.


Sunday 16 November 2014

Ibu bapa perlu corak anak jadi generasi terbaik

KLANG, 16 NOV: Ibu bapa dan penjaga perlu mencorakkan anak mereka dengan contoh yang baik supaya golongan itu akan menjadi generasi berguna kelak, seterusnya memberi kebanggaan kepada masyarakat dan negara.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, 25 peratus pembentukan kanak-kanak dipengaruhi oleh genetik, manakala 75 peratus lagi adalah pengaruh faktor persekitaran.
Selain itu, katanya, pendedahan kepada pendidikan awal dan pra sekolah juga amat penting supaya anak itu membesar dalam kehidupan yang sempurna.
anak kecil tadika taska 25 julai“Kanak-kanak akan belajar sama ada melalui rakan sebaya, guru, ibu bapa, media serta teknologi terkini. Mereka mempunyai hak untuk mendapatkan nama yang baik, dilindungi, diberi pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan.
“Kita selaku penjaga termasuk pendidik perlu sentiasa menerapkan perkara ini dalam membesarkan anak,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat Selangor 2014 di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini, semalam.
Sambutan itu adalah bagi memberi penghormatan serta meraikan generasi kanak-kanak sempena Hari Kanak-kanak Sedunia, pada 20 November ini.
Ia turut diselangi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan nasyid, sesi bercerita, mewarna dan nyanyian.
daroyahPada masa sama, Daroyah berkata, bilangan kanak-kanak yang dicatatkan adalah 10.5 juta, manakala di Selangor adalah 1.7 juta berdasarkan Jabatan Perangkaan Negara,
Katanya, kerajaan turut menggubal Dasar Kanak-kanak Negara yang memberi hak kelangsungan hidup serta perlindungan supaya mereka dapat menikmati peluang untuk mencapai persekitaran kondusif.
“Kita pastikan tumbesaran anak kita terbaik melalui didikan dengan penuh kasih sayang, disiplin dan akhlak untuk membentuk sahsiah yang tinggi. Mereka juga perlu diterap dengan nilai murni dan agama,” katanya.

SUMBER : http://bm.selangorku.com/62951/ibu-bapa-perlu-corak-anak-jadi-generasi-terbaik/

44,957 kes Denggi hingga 15 Nov, masyarakat patut prihatin jaga kebersihan

SHAH ALAM, 17 NOV: Kesedaran mengenai kebersihan sangat penting dalam usaha membenteras penularan wabak denggi yang semakin meningkat dan boleh mendatangkan ancaman kepada masyarakat.
Tambahan pula taburan hujan yang tinggi kebelakangan ini memudahkan lagi pembiakan jentik-jentik di kawasan terbiar seperti di lonngokan sampah dan barangan terbiar.
DENGGI GRAFIKSehingga minggu epid ke-46 bertarikh 15 November 2014, sebanyak 44,957 kes denggi yang telah didaftarkan melaui ujian makmal bagi Selangor dengan 66 jumlah kematian.
Justeru, amalan gotong-royong dan keprihatinan menjaga kebersihan diperlukan dalam situasi sekarang supaya indeks mangsa denggi dapat dikurangkan.
Bagi Adi Amirul, 34, pengalaman menjadi suspek denggi bukan suatu perkara yang indah ditambah terpaksa menaggung kesakitan selama seminggu.
Meskipun tidak ditahan di wad, namun sejak daripada kejadian itu menjadikan beliau lebih berdisiplin untuk menjaga kebersihan sekitar.
“Masa jadi suspek denggi sekitar 2004. Lebih kurang seminggu saya demam tapi saya hanya mengambil ubat biasa dan berehat di rumah.
“Saya sendiri tidak tahu di mana saya terkena gigitan nyamuk tapi memang terseksa apabila badan menjadi lemah tidak bermaya.
“Sejak itu saya akan pastikan kawasan rumah terutamanya bebas daripada barangan tidak terpakai yang boleh menjadi tempat aedes membiak,” katanya ketika ditemui Selangor Kini.
Jelasnya, masyarakat perlu memainkan peranan penting memandangkan terdapat segelintir yang gemar membuang sampah merata-rata terutama di persimpangan jalan.
Pengalaman sama pernah dilalui Herwan Rais, 32, yang menjadi suspek denggi tahun lalu.
Menurutnya, kebanyakan kawasan perumahan kurang memberikan perhatian soal kebersihan terutama di bahagian longkang.
Katanya, masyarakat lebih mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan membersihkan kawasan longkang atas alasan bukan tanggungjawab mereka sepenuhnya.
“Kita biasa nampak air bertakung seprti di pasu bunga, tong-tong lama tapi kita kurang sedar kalau air longkang bertakung dan tidak mengalir dengan baik turut menjadi faktor penyumbang kepada pembiakan aedes,” katanya yang telah tinggal di Shah Alam sejak 2008.
Katanya lagi, masyarakat perlu menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan mengawal penularan wabak denggi.


Sumber : http://bm.selangorku.com/63021/44957-kes-denggi-hingga-15-nov-masyarakat-patut-prihatih-jaga-kebersihan/

Majlis Perasmian Penutup Kursus Intensif Pengasuh Kanak-Kanak (KIPK)

TARIKH : 16 November 2014
AKTIVITI : Majlis Perasmian Penutup Kursus Intensif Pengasuh Kanak-Kanak (KIPK) .
LOKASI : Intekma Hotel

Petang tadi di Majlis Perasmian Penutup Kursus Intensif Pengasuh Kanak-Kanak (KIPK) anjuran Jawatankuasa Tetap Kebajikan dengan kerjasama Rantaian Mesra Sdn Bhd di Hotel Intekma.'


Ia merupakan kali ketiga pihak Jawatankuasa Tetap Kebajikan Negeri Selangor dengan kerjasama RMSB dan Pusat Latihan Wawasan melaksakan Kursus Intensif Perkembangan Kanak – Kanak atau singkatannya KIPK yang melayakkan puan – puan mendapat Sijil Asuhan Kanak – kanak Selangor.

Kursus yang kita anjurkan ini sebenarnya ingin membantu para pengasuh kanak – kanak di rumah atau baby sitter  untuk mendapatkan lesen pendaftaran yang sah sekaligus melaksanakan pemutihan taska – taska dan pusat jagaan kanak – kanak yang beroperasi secara tidak sah.

Kursus yang kita jalankan ini juga diharapkan dapat membantu para pengasuh meningkatkan kualiti jagaan dan asuhan terhadap kanak – kanak yang dijaga di rumah secara home based.

Kursus ini juga istimewa apabila para pengasuh dikumpulkan dan dibekalkan dengan ilmu dan pendedahan yang sangat baik dan berguna agar dapat diaplikasikan semasa mereka menjalankan tugas, mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar buah fikiran dan pendapat sesama mereka demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anak-anak yang merupakan permata buat kita yang bakal bersinar pada masa depan.

Banyak modul dan latihan yang telah Puan – puan jalani sepanjang dua hari ini antaranya yang menyentuh dasar dan ilmu perkembangan kanak – kanak, pemakanan dan kebersihan kanak – kanak, malah juga kawalan keselamatan dan pengurusan pentadbiran serta kewangan. Ini semua merupakan pendedahan ilmu pengetahuan yang harus diketahui oleh para pengasuh pusat jagaan.











Friday 14 November 2014

PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK PERINGKAT NEGERI SELANGOR


Sebagaimana semua maklum, kanak – kanak merupakan kumpulan masyarakat yang amat berharga untuk diberi perhatian dan dibangunkan kerana merekalah yang bakal menjadi pemimpin Negara dimasa akan datang. 

Bilangan kanak – kanak di Negara kita mengikut Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2012 adalah seramai 10.54 juta orang. Manakala di Selangor sahaja seramai lebih kurang 1.7 juta orang kanak – kanak. Takungan modal insan ini amatlah kritikal untuk kita gilap dan asuh melalui pendidikan awal pra-sekolah yang berkualiti.

Saya percaya Persatuan – persatuan dan sekolah – sekolah yang kita jemput pada hari ini telah memberikan khidmat dan pendidikan yang terbaik buat anak –anak kita. Ini kerana kajian menunjukkan 25% pembentukan pembangunan kanak – kanak adalah dipengaruhi oleh genetik, manakala selebihnya iaitu 75% lagi adalah dipengaruhi oleh persekitaran. Maka, kanak – kanak ini akan belajar daripada pelbagai persekitaran dan sumber. Samada rakan sebaya, guru – guru, ibubapa, media dan teknologi masa kini.

Oleh itu, pendedahan kepada pendidikan awal dan pra-sekolah amat penting kepada kanak – kanak agar mereka ini membesar dalam keseimbangan emosi, rohani, pendidikan, jati diri dan fizikal yang sempurna.

Kanak – kanak mempunyai hak mereka tersendiri. Hak untuk dinamakan, hak kewarganegaraan, hak untuk dilindungi, hak untuk mendapat zat dan pemakanan yang seimbang, hak untuk mendapat pendidikan, hak keselamatan dan kesejahteraan. 

Kerajaan telah menggubal Dasar Kanak – kanak Negara yang selaras dengan Falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak – kanak (CRC) dan Akta Kanak – kanak 2001 yang memberikan hak kelangsungan hidup, perlindungan dan penyertaan kanak – kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan dalam persekitaran yang kondusif. 

Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa memastikan perkembangan dan tumbesaran anak – anak kita adalah yang terbaik demi masa depan mereka. Sebab itu, layanan dan asuhan kita sebagai ibubapa terhadap anak – anak ini sekarang akan memberikan kesan besar dalam kehidupan mereka kelak. Kita harus mendidik mereka dengan kasih sayang dan pada masa yang sama disiplin yang wajar dalam membentuk sahsiah diri dan akhlak yang terpuji dalam diri mereka yang akhirnya membentuk masyarakat yang bersahsiah tinggi.

Bagi Kerajaan Negeri pula, kita berusaha membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa. Oleh itu kita telah melancarkan beberapa program bagi tujuan ini bagi ibubapa yang berpendapatan rendah.

 Yang pertama, Program Tabung Warisan Anak Selangor atau TAWAS. Program ini membolehkan semua anak kelahiran Selangor menerima RM1,500 apabila mereka mencapai usia 18 tahun bagi persediaan ke institut pengajian tinggi kelak. Ia merupakan hadiah Kerajaan Negeri Selangor melalui tabung simpanan sebanyak RM100 yang akan dilaburkan. Jadi, ibubapa kini boleh mendaftar sebelum anak – anak mencapai usia setahun secara online atau mendapatkan borang pendaftaran di Pejabat Daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing – masing. Seramai 152,225 orang penerima telah mendapat manfaat ini dengan peruntukan sebanyak RM15,222,500.00 sehingga Oktober 2014.

Program kedua adalah Program Skim Bantuan Asuhan Rakyat atau SiKembar yang dilancarkan pada tahun 2012. Bantuan ini untuk kanak – kanak berusia empat tahun dan kebawah yang dihantar ke Taska atau nurseri yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Melalui skim ini ibubapa akan mendapat bantuan sebanyak RM100 setiap bulan untuk bayaran menghantar anak ke Taska atau nurseri. Dan sehingga kini seramai 1,237 orang penerima manfaat program ini dengan kos RM943,900.00.




Program ketiga pula adalah Program Skim Bantuan Tadika Negeri Selangor atau TUNAS yang mana Kerajaan akan memberi bantuan yuran sebanyak RM50 setiap bulan kepada kanak – kanak Tadika yang layak. Bantuan ini akan disalur terus kepada pihak Tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor. Dan sebanyak RM4,509,127.00 telah dibelanjakan yang memanfaatkan 11,205 orang pemohon.

Dan bagi pihak pengusaha Taska atau pengasuh kanak – kanak, Kerajaan Negeri juga menyediakan Kursus Intensif Perkembangan Kanak – Kanak (KIPK) kepada mereka yang bercadang membuka Taska atau Pusat Asuhan Kanak – kanak. 

Pelbagai usaha Kerajaan Negeri laksanakan bagi kategori kanak – kanak ini yang pada masa yang sama membantu para ibubapa juga penjaga. Ini semua bagi memastikan anak – anak kita mendapat pendidikan dan asuhan yang sempurna dan berkualiti agar mereka membesar menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.






Thursday 13 November 2014

Ubah sikap jika mahu perangi denggi

Dr Daroyah Alwi


DALAM pertemuan dengan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi, beliau menyatakan virus denggi sebenarnya disebarkan oleh manusia.

Beliau juga menyuarakan rasa kebimbangan melihat bilangan angka kematian akibat wabak denggi semakin meningkat. Dalam masa yang sama beliau turut mendedahkan bahawa denggi akan terus menjadi wabak selagi fokus hanya diberikan kepada nyamuk, sedangkan banyak faktor lain perlu diambil kira.

Ikuti temu bual lanjut bersama wartawan Sinar Harian, Norawazni Yusof bersama jurugambar, Sharifudin Abdul Rahim di Bangunan Sultan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.


Setakat ini berapa jumlah kes demam denggi dan kematian dicatatkan di Selangor?

Kes denggi semakin membimbangkan dan jika kita lihat, angka korban disebabkan kes denggi di negeri ini meningkat empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Jika merujuk pada rekod, Selangor kekal memegang rekod kes kematian paling tinggi iaitu 62 orang. Tahun lalu hanya 38 kes kematian dilaporkan dan angka terbaru ini amat menakutkan.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan kes terkumpul iaitu 43,460 manakala sebanyak 208 kes harian dilaporkan.


Berapa kawasan panas yang telah dikenal pasti ada wabak denggi?

Terdapat empat daerah kawasan panas yang telah dikenal pasti iaitu daerah Petaling Jaya, Gombak, Hulu Langat dan Klang. Kawasan ini perlu diberi keutamaan dalam pelaksanaan aktiviti kawalan.

Kawasan ini dikesan apabila wabak denggi berlarutan sehingga 15 hingga 30 hari. Bila berlarutan terlalu lama, kita akan mengambil langkah pengawalan dengan menjalankan pemeriksaan secara ketat.


Apakah punca sehingga menyebabkan kawasan tersebut menyumbang kepada wabak denggi?

Sepanjang pemeriksaan dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), didapati lokasi panas yang dikenal pasti kebiasaannya mempunyai kepadatan penduduk dan jumlah rumah yang sangat banyak menjadi faktor utama pembiakan nyamuk aedes.

Ramai yang tidak menyedari bahawa kepadatan penduduk antara faktor penyumbang kepada wabak penyakit seperti denggi. Di kawasan padat penduduknya memang sukar dikawal sistem perparitan, sampah-sarapnya malah kebersihan kawasan persekitaran.

Kita tentunya tidak boleh mengurangkan kepadatan penduduk di sesuatu tempat kerana sudah menjadi lumrah, namun rakyat perlu sedar dengan menjaga kebersihan.

Sikap tidak endah segelintir masyarakat dengan kebersihan kawasan kediaman serta persekitaran perumahan dilihat punca utama berlakunya peningkatan mendadak kes demam denggi di negeri ini.

Lagi memburukkan keadaan apabila segelintir masyarakat secara sengaja membuang sampah menyebabkan ia menjadi takungan air untuk pembiakan nyamuk aedes.


Apakah usaha yang kerajaan negeri dan PBT lakukan dalam menangani wabak denggi?

Pada 3 November lalu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali telah melancarkan pelan tindakan Selangorku Bebas Denggi yang melibatkan semua PBT, ahli majlis daerah, ketua kampung dan ketua komuniti kaum India  di seluruh Selangor untuk menjayakan program gotong-royong besar-besaran pada 16 November ini.

Kita telah arahkan semua PBT mengadakan program itu mengikut zon masing-masing dan jika program itu tidak dapat dijalankan oleh PBT pada tarikh yang ditetapkan disebabkan oleh kekangan peralatan atau kakitangan, kerajaan negeri benarkan untuk mereka jalankan program ini pada tarikh berikutnya sehingga penghujung Disember nanti.


Bila program Terjah dan Musnah Aedes akan diadakan?

Program ini  akan diadakan pada 16 November di Selangor secara serentak bagi membersihkan kawasan awam seperti, kawasan komersial, rumah kedai dan kawasan rumah kediaman.


Sejauh mana penganjuran program ini mampu menyedarkan masyarakat?

Itulah tugas yang paling mencabar, namun kita akan sedaya upaya memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya denggi.

Saya sebagai seorang doktor, terpanggil untuk memberi penerangan kepada masyarakat betapa bahayanya wabak ini kerana boleh mengundang kematian. Rakyat patut diberi pendedahan mengenainya.

Kita sebolehnya mahu mereka ambil berat tentang isu ini dan peka terhadap persekitaran serta lebih bertanggungjawab apabila melihat takungan air yang boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak.

Penganjuran program kali ini agak berbeza kerana kita akan mengajar masyarakat cara menghapuskan nyamuk aedes di kawasan kediaman mereka kerana apabila wujudnya air bertakung potensi untuk nyamuk aedes membiak amat tinggi.


Adakah semburan kabus satu kaedah bagi menyelesaikan masalah penularan denggi?

Semburan kabus bukan penyelesaiannya untuk mengurangkan kes demam denggi. Aktiviti semburan kabus merupakan langkah pencegahan yang terakhir bagi membunuh nyamuk aedes dewasa dan bukannya langkah paling utama.

Rakyat perlu sedar bahawa semburan kabus hanya bersifat sementara kerana ia hanya membunuh nyamuk dewasa bukannya boleh membunuh jentik-jentik. Jadi kita tidak boleh bergantung harap kepada semburan kabus semata-mata tetapi perlu menggunakan cara lain bagi menghapusnya nyamuk aedes.

Dalam konteks ini semburan kabus hanya akan dibuat apabila ada aduan mengenai wabak tersebut.  Namun masyarakat perlu berusaha memeriksa persekitaran kediaman mereka selama 10 minit seminggu untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Sikap masyarakat juga penting dalam usaha memerangi denggi. Saya ingatkan kepada semua rakyat Selangor bahawa kesedaran mengenai kebersihan sekeliling perlu dititikberatkan oleh setiap individu dengan menjaga halaman rumah.


Apa harapan kerajaan negeri terhadap program ini?

Saya berharap usaha yang dilaksanakan ini mendapat sokongan dan kerjasama yang konstruktif daripada kerajaan pusat. Sebelum ini saya ditemui oleh doktor di hospital kerajaan dan swasta yang mengadu berhubung jumlah pesakit denggi yang begitu ramai sehingga tidak mampu lagi ditampung oleh pihak hospital.

Justeru kerajaan  negeri berpendapat langkah paling penting perlu diambil semua pihak di seluruh negara ini adalah pencegahan.

Justeru menjadi tanggungjawab kita untuk memupuk kesedaran masyarakat dan menyampaikan maklumat berkaitan Program Gotong Royong Mega yang akan diadakan untuk memastikan penglibatan majoriti rakyat di negeri Selangor.

Kita juga mengalu-alukan kerjasama dan usaha konstruktif warga media selaku ejen sosialisasi masyarakat.

Kita harap dengan pelancaran pelan tindakan dan kempen yang akan dibuat pada Ahad ini akan dapat membantu untuk mengurangkan kes demam denggi di Selangor. Insya-ALLAH.