Monday 6 June 2016

Jumaat minggu ketiga hari penyerahan Bantuan Smart Selangor Food Stamp

KENYATAAN MEDIA
Jumaat minggu ketiga hari penyerahan Bantuan Smart Selangor Food Stamp.
Bermula 17 Jun ini serentak di 56 Dun seluruh Selangor.

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin dan peka dengan kebajikan rakyat Selangor. Kita telah menyusun dan melaksanakan pelbagai program kebajikan dan insentif yang meliputi segenap lapisan rakyat; bermula daripada bayi yang baru lahir sehinggalah kepada mereka yang meninggal dunia.

Program Bantuan Makanan Asas 'SMART SELANGOR FOOD STAMP’ ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dan negeri yang pertama di Malaysia melaksanakannya. Program ini diwujudkan bagi membantu meringankan kos sara hidup golongan masyarakat yang berpendapatan rendah dan miskin serta mempunyai anak-anak dan tanggungan yang ramai dan sedang membesar agar mereka ini sentiasa berkecukupan dan tidak kelaparan. Golongan ini kini semakin terhimpit dalam kegawatan ekonomi yang parah hasil implementasi GST oleh kerajaan persekutuan yang mengutip cukai tanpa mengira taraf hidup rakyat samada senang atau susah tanpa terkecuali.

Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa  hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan merupakan hari penyerahan bantuan makanan asas yang dinamakan Hari  SMART  SELANGOR FOOD STAMP’ dan 17 Jun ini merupakan hari penyerahan pertamanya serentak di 56 DUN seluruh  Negeri Selangor.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) setiap Dun untuk mengenalpasti dan mendapatkan senarai nama mereka-mereka yang benar-benar layak selain menetapkan lokasi agihan bantuan tersebut. 

Melalui pelaksanaan program hasil cetusan idea Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dibentangkan dalam Belanjawan 2016 pada sidang Dewan Negeri Selangor November tahun lalu ini, seramai 5,600 keluarga termiskin di Selangor akan menerima manfaatnya. Ini bermakna, seramai 100 orang akan menerima bantuan ini daripada setiap 56 DUN yang ada di Selangor ini.

Bagi menjayakan program ini, Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sejumlah dana sebanyak RM3,000,000.00 bagi dikongsi bersama-sama dengan penerima yang layak. Penerima bakal menerima bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras 10 kilo, minyak masak, gula, tepong  dan lain-lain.
Demi memastikan penerima ini adalah mereka yang benar-benar layak, kita telah menetapkan kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi. Selain lahir di Selangor atau telah bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun (perlu pengesahan ADUN / Penghulu / Pengerusi JKKK / Pengerusi Taman) dan berpendapatan isi rumah RM1,500.00 ke bawah sebulan, ia terbuka kepada semua kaum dan merupakan pemilih berdaftar di DUN berkenaan.

YB PUAN DR DAROYAH BINTI ALWI
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor