Tuesday 12 January 2016

(13 JANUARI 2016) KENYATAAN MEDIA BERKENAAN ISU VAPE DI NEGERI SELANGOR


KENYATAAN MEDIA BERKENAAN ISU VAPE DI NEGERI SELANGOR
(13 JANUARI 2016)


Di dalam kenyataan media YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bertarikh 17 Disember 2015, beliau telah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa untuk mengharamkan Vape tanpa mendapat maklumbalas daripada pelbagai pihak.

Selaras dengan keadaan tersebut, satu Bengkel Khas Bagi Membincangkan Isu Vape Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YB Dr. Daroyah binti Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor telah diadakan pada 10 - 12 Januari 2016 lalu di Amverton Cove, Pulau Carey telah dihadiri wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (PBT), beberapa NGO serta Persatuan dan Pengusaha Vape. Selain itu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor turut hadir ke bengkel tersebut.

Rumusan bengkel berkenaan telah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor hari ini dan MMKN memberi pertimbangan agar isu vape ini ditangani dengan penuh tanggungjawab.

Kerajaan Negeri Selangor bersetuju sebarang keputusan berkaitan penggunaan Vape ini adalah tertakluk kepada arahan dan dasar semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri mendesak KKM agar menggubal, mengkaji dan menyemak akta dan undang-undang yang diperuntukkan agar penguatkuasaan sepenuhnya terhadap akta-akta tersebut mampu dilaksanakan dengan berkesan.

Kesemua akta yang terlibat dalam pelaksanaan isu Vape ini seperti Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 adalah dibawah bidang kuasa KKM, ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Selaras dengan surat KKM bertarikh 9 Disember 2015, Kerajaan Negeri bersetuju agar lesen tidak diberikan kepada pengusaha Vape. Oleh itu, tiada lagi sebarang kelulusan dan pembaharuan lesen akan diberikan oleh PBT untuk tujuan ini sehingga satu keputusan dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.

Sehingga kini, kira-kira sebanyak 69 lesen telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut dan 30 daripadanya merupakan lesen sementara. Sementara larangan penjualan kepada kanak-kanak dibawah usia 18 tahun ke bawah adalah dikekalkan sepertimana larangan terhadap penjualan tembakau dan rokok.

Bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan terhadap kesan dan kemudaratan Vape, Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan kempen dan program kesihatan kepada semua lapisan masyarakat.

Kerajaan Negeri juga melalui PBT akan mewartakan semua kawasan larangan merokok di Negeri Selangor sebagai kawasan larangan Vape antaranya premis-premis kerajaan, hospital, institusi pendidikan, kawasan-kawasan ibadat, taman permainan dan rekreasi, kawasan rawat dan rehat (RNR) dan banyak lagi.

YB PUAN DR DAROYAH ALWI
Exco Kesihatan, Kebajikan,
Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga
Negeri Selangor.


No comments:

Post a Comment