Tuesday 15 March 2016

GEJALA DENGGI, 115 TANAH LOT KOSONG PERLU DIBERSIHKAN

KENYATAAN MEDIA
GEJALA DENGGI, 115 TANAH LOT KOSONG PERLU DIBERSIHKAN

Terdapat 115 tanah lot kosong yang terbiar dan dikenalpasti menjadi antara salah satu faktor peningkatan kes demam denggi di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, 64 daripadanya dikenalpasti di Petaling, 11 tanah lot di Gombak, 10 tanah lot di Sabak Bernam, 9 tanah lot di Hulu Selangor dan masing-masing 5 tanah lot di Hulu Langat, Klang, Kuala Langat dan Sepang selain 1 tanah lot di Kuala Selangor yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada jabatan kesihatan mahupun jabatan sisa pepejal agar segera mengambil tindakan ke atas lokasi-lokasi berkenaan kerana dikhuatiri disebalik semak dan rumput yang tinggi, dibawahnya terdapat takungan-takungan air yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Mana-mana pemilik tanah lot yang terlibat akan diberikan notis selama 14 hari untuk melakukan pembersihan. Notis akan diberikan kepada pemilik melalui 3 cara iaitu serahan secara terus, pos dan notis papan tanda di lot tanah yang terlibat.

Jika dalam masa tersebut, tiada sebarang tindakan pembersihan yang diambil pemilik, PBT berhak mengenakan kompaun selain lokasi tersebut tetap perlu dibersihkan pemilik.

PBT akan bertindak untuk turun melaksanakan pembersihan di kawasan tersebut sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan pemilik dalam tempoh bertenang selama 14 hari daripada hari kompaun dikeluarkan yang kosnya akan dituntut semula kepada pemilik.

Keengganan pemilik untuk melunaskan bayaran pembersihan akan menyukarkan mereka untuk melunaskan cukai pintu dan cukai taksiran di PBT.

Sehingga 7 Mac lalu, lebih 50 peratus iaitu 66 daripada 115 tanah lot kosong berkenaan telahpun dibersihkan.

Orang awam juga boleh melaporkan lokasi-lokasi wabak yang berada di sekitar mereka terus kepada laman facebook Selangor Bebas Denggi ( https://www.facebook.com/selangorbebasdenggi ).

Laman berkenaan juga berfungsi sebagai medium hebahan bagi mempromosikan segala program gotong-royong membenteras denggi yang bakal dilaksanakan. Dengan wujudnya medium ini, kita mengharapkan penglibatan daripada masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha menurunkan bilangan kes wabak denggi di negeri ini.


YB DR DAROYAH ALWI
Exco Kesihatan Negeri Selangor
15 Mac 2016
#SelangorBebasDenggi 
#SihatSelangor 
#SmartSelangor

No comments:

Post a Comment