Monday 16 March 2015

PENAHANAN PEMIMPIN PR MEMPERLIHATKAN UNSUR POLITIK BACUL DAN BERAT SEBELAH

KENYATAAN MEDIA

Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak Polis menghentikan segera sebarang gangguan dan ugutan terhadap pemimpin dan pembela hak rakyat.

Tindakan pihak polis menyiasat Nurul Izzah secara terdesak sebegini jelas mencabuli keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, memperlihatkan unsur politik bacul selain berat sebelah yang diimplikasikan demi melumpuhkan dan menyekat suara keramat rakyat di negara ini.

Negara kita hari ini sudah kembali ke zaman pra-kemerdekaan pemerintahan kuku besi apabila seorang yang bergelar Ahli Yang Berhormat yang hadir secara sukarela ke balai polis bagi memberi kerjasama untuk dirakam kenyataan akhirnya ditangkap, ditahan dan direman.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak perlu bermalam di Jinjang, selain beliau menggalas amanat dan tanggungjawab dengan baik sebagai ahli politik yang dipilih rakyat, beliau juga merupakan seorang wanita yang menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada anak-anak yang masih kecil, beliau bukan penjenayah merbahaya dan tidak mungkin akan lari ke mana-mana.

Bagaimana kerajaan Barisan Nasional boleh mendabik dada kononnya Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sedangkan apa yang diperlakukan terhadap anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai hari ini jelas tidak bertamadun.

Kita juga menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak Polis untuk bersikap profesional dan adil dengan tidak menekan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat selain mengembalikan hak sebagai Ahli Yang Berhormat yang mendapat perlindungan imuniti yang dilindungi oleh perlembagaan dari tindakan undang-undang atas apa sahaja pandangan dan nasihat yang dituturkan di dewan yang mulia.

Walau apa usaha yang direncanakan, Wanita PKR tidak akan berundur walaupun selangkah dan akan terus kekal mendokong perjuangan parti yang diterajui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

YB PUAN DR DAROYAH ALWI.
Naib Ketua Wanita PKR Pusat
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor


No comments:

Post a Comment