Thursday 26 March 2015

KENYATAAN MEDIA SITUASI DENGGI NEGERI SELANGOR SEHINGGA 21 MAC 2015

KENYATAAN MEDIA 
SITUASI DENGGI NEGERI SELANGOR SEHINGGA 21 MAC 2015

Analisa notifikasi kes Denggi menunjukkan tren penurunan di semua daerah seluruh negeri Selangor. Jumlah lokaliti wabak juga telah menunjukkan penurunan sebanyak 30% berbanding tiga minggu sebelum ini. 

Segala usaha kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan telah mula memperlihatkan kesan positif dan diharapkan strategi yang melibatkan kerjasama padu diantara pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, pihak swasta, pertubuhan sukarelawan dan masyarakat tempatan dapat diteruskan sehingga gejala ini dapat diturunkan seminimum mungkin.

Sehingga 21 Mac 2015, jumlah kes denggi di Daerah Petaling berjaya diturunkan hampir 50 peratus daripada 1025 kes pada minggu epid ke-4 kepada 547 kes pada minggu epid ke-11 sejak Task Force Khas Terjah Dan Musnah Aedes Daerah Petaling oleh YAB Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali pada 7 Februari lalu.

Walau bagaimanapun diingatkan, cuaca panas hari ini akan mempengaruhi tabiat nyamuk dan virus denggi. Peningkatan suhu akan menyebabkan nyamuk lebih aktif menggigit dan tempoh replikasi virus akan menjadi semakin singkat sekaligus mendedahkan masyarakat kepada penyebaran virus yang lebih cepat.

Oleh yang demikian, selain tanggungjawab pihak berwajib, masyarakat dinasihatkan untuk terus mempergiatkan lagi langkah-langkah pencegahan denggi berkala di rumah kediaman dan tempat kerja sekurang-kurangnya 10 minit sekali seminggu demi memastikan trand penurunan ini berterusan dari masa ke masa.

Selain daripada langkah-langkah ini, masyarakat juga diseru untuk sentiasa menjaga kebersihan alam sekeliling dengan perlupusan sampah domestik dan sampah pukal secara teratur dan menjauhi daripada tabiat pembuangan sampah haram dan ‘littering’ yang telah menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes tinggi di Selangor.

Strategi utama kawalan denggi di Negeri Selangor ialah penekanan kepada kebersihan dan pencegahan pembiakan nyamuk Aedes setiap masa dan ini menepati slogan ‘Kebersihan Setiap Hari, Setiap Masa & Di Mana Jua’  program pencegahan & kawalan denggi Negeri Selangor. 

Data merekodkan sehingga 21 Mac  2015, sejumlah 18,192 kes denggi (50 kematian) telah di daftarkan di Negeri Selangor berbanding dengan 12,073 kes denggi (21 kematian) untuk tempoh yang sama pada tahun 2014 (peningkatan kes 50.6%).

Daerah Petaling masih menunjukkan beban denggi yang tertinggi ialah sebanyak 8,627 kes, diikuti Hulu Langat (3,324 kes), Klang (2,622 kes) dan Gombak (1,820 kes).

YB PUAN DR DAROYAH ALWI
EXCO KESIHATAN NEGERI SELANGOR

No comments:

Post a Comment