Monday 7 September 2015

PROGRAM ADVOKASI TERHADAP WANITA PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2015

KENYATAAN MEDIA
PROGRAM ADVOKASI TERHADAP WANITA PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2015


Kerajaan Negeri mengambil serius akan isu – isu yang mendepani para wanita di Negeri Selangor terutama dalam isu yang mengancam kesejahteraan wanita dan keluarga. Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk membantu ke arah persekitaran yang selamat untuk wanita dan keluarga.

Program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan kepada golongan wanita dalam menangani ancaman dan keganasan yang sentiasa berada dipersekitaran.

Dengan adanya pengetahuan dan kesedaran berkaitan ancaman keganasan terhadap wanita dan cara menghadapinya, maka wanita kini diharapkan lebih bersedia dalam menghadapi kemungkinan berlakunya apa jua bentuk keganasan dan penindasan serta dapat mengelakkan risiko – risiko penindasan terhadap diri dan keluarga.

Selain melaksanakan kempen–kempen kesedaran dan advokasi terhadap wanita sebagai langkah pencegahan, Kerajaan Negeri dengan dibantu oleh semua agensi–agensi Kerajaan turut membantu mangsa–mangsa keganasan.

Berdasarkan statistik Polis DiRaja Malaysia, pada 2014, sebanyak 4,807 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan, manakala sebanyak 4,123 kes berlaku dalam tahun 2013, dan sebanyak 3,488 kes dilaporkan dalam tahun 2012. Peningkatan kes keganasan rumah tangga dilaporkan meningkat pada tahun 2013 disebabkan tahap kesedaran wanita telah meningkat dengan sistem sokongan yang disediakan Kerajaan. Sesungguhnya, dengan sistem sokongan dan perkhidmatan yang disediakan, Kerajaan Negeri ini merasakan lebih ramai wanita yang pernah dianiaya sebelum ini, kini berani tampil membuat aduan bagi mendapatkan bantuan dan pembelaan.

Amat membimbangkan apabila statistik kes tahun ini menunjukkan peningkatan jumlahnya. Difahamkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sudah mencatatkan 12 peratus peningkatan kes keganasan terhadap wanita. Sebanyak 2,576 kes sudah dilaporkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding dengan 2,295 kes bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Statistik ini adalah berdasarkan kes-kes yang dilaporkan kepada pihak yang berkuasa. Sebenarnya jumlahnya jauh lebih tinggi daripada itu kerana ada banyak lagi kes keganasan terhadap wanita yang tidak dilaporkan atas pelbagai alasan seperti malu, takut, pelakunya dalam kalangan orang yang terdekat dan sebagainya.

Keganasan terhadap wanita harus dihentikan segera. Realiti ini telah meragut kebebasan bergerak seseorang wanita dan kanak – kanak perempuan. Tiada lagi rasa selamat. Malah, ibubapa lah insan yang paling bimbang akan keselamatan anak – anak perempuan mereka setiap kali mereka ke sekolah mahupun ke tempat kerja.

Pada hari ini para peserta program berpeluang untuk mendengar sendiri bentuk-bentuk bantuan dan maklumat-maklumat melibatkan jabatan-jabatan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Hospital Kerajaan (Jabatan Kecemasan), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Biro Sokongan Keluarga dari Jabatan Kehakiman dan Syariah Selangor (JAKESS) dan Biro Bantuan Guaman Selangor. Para peserta juga digalakan mengajukan segala persoalan kepada para penceramah yang berkaitan dengan keganasan terhadap wanita dan juga kanak-kanak.

Tidak dinafikan bahawa kerjasama antara semua pihak amatlah mustahak dalam usaha-usaha memerangi keganasan terhadap wanita.

Kerajaan Negeri percaya bahawa tanggungjawab menangani kes-kes keganasan terhadap wanita, mahupun langkah-langkah pencegahan perlu dipikul bersama. Masalah ini tidak seharusnya diletakkan di bahu Kerajaaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sahaja. Masyarakt juga perlu memainkan peranan penting dan perlu menyemai rasa tanggungjawab demi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk meneruskan kehidupan.

Apa yang penting ialah keberanian wanita sendiri untuk menuntut hak dan pembelaan serta melaporkan setiap keganasan yang dilakukan terhadap mereka mahupun saudara, jiran tetangga.
Jangan biarkan keganasan itu berterusan kerana ia boleh membawa implikasi negatif terhadap diri mahupun ahli keluarga. Trauma akibat penindasan dan keganasan yang dialami boleh menjejaskan kesihatan mental dan kehidupan yang positif. Seterusnya mewujudkan pelbagai masalah dari segi psikologi yang akan mengganggu pertumbuhan sihat mereka.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan lebih aktif untuk meningkatkan kesedaran, terutama di kalangan kaum lelaki agar menghormati wanita dan menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita. Wanita juga mempunyai maruah diri dan hak untuk hidup sejahtera sebagaimana insan lain. Malah, mereka lah ibu kepada anak – anak di dunia ini. Insan yang paling layak dihormati dan disanjung oleh kita semua. Justeru itu, wanita perlu dilindungi, bukan disakiti. Wanita perlu dihormati, bukan di diskriminasi.


YB DR DAROYAH ALWI
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment