Tuesday 8 September 2015

SELANGOR BANTU MANGSA KEBAKARAN DI KAMPUNG PANTAI BAHAGIA, KUDAT, SABAH.
















‘Kebajikan Merentasi Sempadan', Selangor sebagai sebuah negeri berkebajikan hari ini sekali lagi melaksanakan tanggungjawab menghulur tangan bukan sahaja kepada rakyat di negeri sendiri, malah ditempiaskan kepada mereka-mereka yang ditimpa bencana di negeri-negeri lain.

Seramai 94 buah keluarga dari Kampung Pantai Bahagia, Kudat, Sabah nyata terharu dan gembira dengan kehadiran deligasi dari Selangor yang hadir bertanya khabar selain membawa sumbangan bantuan kepada mereka.

Kejadian kebakaran yang berlaku pada 17 Jun lalu telah mengakibatkan lebih 400 penduduk di sini tinggal sehelai sepinggang.

Apa yang mengejutkan setelah lebih dua bulan berlalu, mangsa-mangsa kebakaran ini masih lagi tinggal di dewan orang ramai dan sehingga kini masih belum kelihatan sebarang pembangunan dimulakan di kawasan tersebut.

Hari ini selain pemberian sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai, kita juga menyampaikan sumbangan berupa zink kepada setiap keluarga mangsa. 

Simbolik pemberian zink ini adalah kerana di dalam pembinaan sebuah rumah, bumbung merupakan keperluan yang paling utama untuk dijadikan tempat berlindung. Walau hanya menggunakan satu tiang sahaja, zink yang akan dijadikan bumbung ini mampu meneduhkan dan melindungi kita dari hujan dan panas. 

Dengan usaha ini, kerajaan Negeri Selangor telah memberi harapan baru kepada mangsa. Oleh yang demikian, pihak berwajib tempatan digesa untuk menyegerakan pembinaan semula kediaman mereka seperti yang telah dijanjikan demi menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

Sumbangan bantuan ini tidak besar nilainya tetapi ia cukup untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan negeri Sabah supaya bangun dari tidur yang lena. 

Sedangkan sebuah kerajaan negeri yang jauh dari semenanjung telah hadir menghulurkan sumbangan, tidak malu kah jika mereka hanya berdiam diri tanpa menghulurkan bantuan secara segera dan serius.


YB DR DAROYAH ALWI
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment