Monday 21 October 2013

Hadiah istimewa kepada calon SPM cemerlang.

TARIKH : 20 Oktober 2013 (Ahad) 5.30petang.
AKTIVITI : Seminar Fastrack SPM 2013.
LOKASI : Bilik Kuliah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).


SHAH ALAM – Anak-anak dari Dun Sementa yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijanjikan bakal menerima hadiah istimewa.

Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, ganjaran ini sengaja diberikan untuk menaikkan lagi semangat mereka bagi menghadapi SPM yang dijadualkan berlangsung beberapa minggu lagi.

Menurutnya, sesiapa sahaja anak-anak dari Dun Sementa ini tidak kira berbangsa Melayu, India mahupun Cina yang berjaya mendapatkan keputusan A untuk semua mata pelajaran , jumpa saya untuk mendapatkan hadiah. 

“Setelah keputusan dikeluarkan nanti, mereka boleh terus pergi ke Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sementa untuk memberi butiran, kejayaan mereka akan dirai.

“Sebagai Adun, kejayaan yang mereka kecapi adalah kebahagiaan kepada saya, dorongan ini diharap bakal memotivasikan mereka seterusnya membakar keazaman yang tinggi untuk terus berusaha demi mencapai apa yang mereka cita-citakan,” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup program

Seminar Fastrack SPM 2013 di Dewan Kuliah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), semalam.

Seminar satu hari anjuran biro pendidikan dan PKM Dun Sementa berjaya mengumpulkan seramai kira-kira 120 calon SPM dari seluruh sekolah di Dun Sementa.

Beliau yang juga merupakan Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, inisiatif kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) ini dilihat sangat relaven dan bijak. 

“Bukan semua keluarga mampu menghantar anak mereka untuk mendapatkan kelas tuisyen, dengan adanya PTRS kita dapat membantu mengurangkan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana ini untuk mendapatkan kelebihan sama seperti anak-anak dari keluarga yang senang.

“Pendidikan anak-anak muda pelapis negara ini merupakan keutamaan kepada kerajaan negeri demi melahirkan modal insan cemerlang yang akan menyambung legasi kejayaan di Selangor,” katanya.

Turut hadir memberi sokongan dan kata-kata semangat, Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin dan ketua-ketua kampung.



No comments:

Post a Comment