Thursday 3 October 2013

Selangor bakal menjadi hab kesihatan nagara.

TARIKH : 2 Oktober 2013
AKTIVITI : Mesyuarat Hala Tuju Hab Kesihatan Selangor 
LOKASI : Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

SHAH ALAM – Kerajaan negeri meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa rancangan untuk menjadikan Selangor sebagai hab kesihatan hampir direalisasikan.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata, misi kita adalah untuk menjadikan Selangor sebagai salah sebuah hab kesihatan terbaik dan mampu memberi daya saing kepada hab kesihatan yang lebih menonjol seperti di Pulau Pinang dan Melaka.

“Mengapa tidak, sedangkan negeri Selangor mempunyai kepakaran, doktor-doktor hebat yang bertauliah, hospital dan prasarana perubatan yang jauh lebih canggih berbanding dua negeri tersebut.

“Jika perkara ini berjaya direalisasikan kelak, Selangor akan menjadi hab kesihatan utama bukan hanya kepada rakyat di Selangor, malah Malaysia juga Asia Tenggara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Hala Tuju Hab Kesihatan Selangor anjuran Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Tourism Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu telah dihadiri wakil daripada 15 pusat perubatan dan kesihatan swasta dari seluruh Selangor.

Industri perkhidmatan kesihatan di Selangor telah menyumbang sebanyak lapan peratus kepada pendapatan ekonomi negeri.

Dr Daroyah berkata, dengan menjadikan Selangor sebagai hab kesihatan utama, ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

“Langkah pertama, kami akan bekerjasama dengan Tourism Selangor untuk mempromosikan Hab Kesihatan Selangor ke negara jiran, Indonesia.

“Satu lawatan promosi yang bakal disertai wakil hospital dan pegawai berkaitan dari sini ke Jakarta pada 25 hingga 27 Oktober ini dan promosi itu akan diteruskan ke Surabaya pada dua hari berikutnya,” katanya.

Menurutnya lagi, usaha ini juga bakal memberi kelebihan kepada rakyat di Selangor kerana ia sekaligus dapat mempromosikan ekonomi usahawan industri kecil dan sederhana, sektor pelancongan dan banyak lagi, selain itu dengan adanya hab kesihatan ini, ia bakal membekalkan lebih banyak peluang pekerjaan. 


“Bagi merealisasikan matlamat tersebut, ia memerlukan integrasi bersepadu bukan hanya dari industri perkhidmatan kesihatan semata-mata, malah akan turut melibatkan industri sokongan dari sektor lain seperti pelancongan, keselamatan, perhotelan, pengangkutan, makanan, pusat beli belah dan banyak lagi.

“Jadi pesakit yang datang dari jauh untuk mendapatkan rawatan di sini tidak perlu risau akan menghadapi masalah tersebut, kerjasama dari setiap sektor ini bakal mewujudkan perkhidmatan berkualiti yang akan memenuhi kepuasan bukan sahaja kepada pesakit malah kepada ahli keluarga atau teman yang menemaninya,” katanya.

Dr Daroyah berkata, hasil pertemuan yang sangat bermaklumat hari ini, kita dapat mengumpulkan maklumat-maklumat penting seperti status, fasiliti, kepakaran, cabaran dan kekangan yang dihadapi pusat perubatan dan kesihatan di negeri ini.

“Kesemua mereka sangat menanti-nantikan berita baik ini, sambutan yang diterima dari mereka sangat positif dan kami telah menerima banyak cadangan yang sangat baik.

“Jika sokongan padu sebegini terus diberikan, hasrat ini bakal lebih mudah dicapai dan ia akan memberi kelebihan kepada semua sektor yang terlibat,” katanya.

END/







No comments:

Post a Comment