Friday 14 November 2014

PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK PERINGKAT NEGERI SELANGOR


Sebagaimana semua maklum, kanak – kanak merupakan kumpulan masyarakat yang amat berharga untuk diberi perhatian dan dibangunkan kerana merekalah yang bakal menjadi pemimpin Negara dimasa akan datang. 

Bilangan kanak – kanak di Negara kita mengikut Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2012 adalah seramai 10.54 juta orang. Manakala di Selangor sahaja seramai lebih kurang 1.7 juta orang kanak – kanak. Takungan modal insan ini amatlah kritikal untuk kita gilap dan asuh melalui pendidikan awal pra-sekolah yang berkualiti.

Saya percaya Persatuan – persatuan dan sekolah – sekolah yang kita jemput pada hari ini telah memberikan khidmat dan pendidikan yang terbaik buat anak –anak kita. Ini kerana kajian menunjukkan 25% pembentukan pembangunan kanak – kanak adalah dipengaruhi oleh genetik, manakala selebihnya iaitu 75% lagi adalah dipengaruhi oleh persekitaran. Maka, kanak – kanak ini akan belajar daripada pelbagai persekitaran dan sumber. Samada rakan sebaya, guru – guru, ibubapa, media dan teknologi masa kini.

Oleh itu, pendedahan kepada pendidikan awal dan pra-sekolah amat penting kepada kanak – kanak agar mereka ini membesar dalam keseimbangan emosi, rohani, pendidikan, jati diri dan fizikal yang sempurna.

Kanak – kanak mempunyai hak mereka tersendiri. Hak untuk dinamakan, hak kewarganegaraan, hak untuk dilindungi, hak untuk mendapat zat dan pemakanan yang seimbang, hak untuk mendapat pendidikan, hak keselamatan dan kesejahteraan. 

Kerajaan telah menggubal Dasar Kanak – kanak Negara yang selaras dengan Falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak – kanak (CRC) dan Akta Kanak – kanak 2001 yang memberikan hak kelangsungan hidup, perlindungan dan penyertaan kanak – kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan dalam persekitaran yang kondusif. 

Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa memastikan perkembangan dan tumbesaran anak – anak kita adalah yang terbaik demi masa depan mereka. Sebab itu, layanan dan asuhan kita sebagai ibubapa terhadap anak – anak ini sekarang akan memberikan kesan besar dalam kehidupan mereka kelak. Kita harus mendidik mereka dengan kasih sayang dan pada masa yang sama disiplin yang wajar dalam membentuk sahsiah diri dan akhlak yang terpuji dalam diri mereka yang akhirnya membentuk masyarakat yang bersahsiah tinggi.

Bagi Kerajaan Negeri pula, kita berusaha membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa. Oleh itu kita telah melancarkan beberapa program bagi tujuan ini bagi ibubapa yang berpendapatan rendah.

 Yang pertama, Program Tabung Warisan Anak Selangor atau TAWAS. Program ini membolehkan semua anak kelahiran Selangor menerima RM1,500 apabila mereka mencapai usia 18 tahun bagi persediaan ke institut pengajian tinggi kelak. Ia merupakan hadiah Kerajaan Negeri Selangor melalui tabung simpanan sebanyak RM100 yang akan dilaburkan. Jadi, ibubapa kini boleh mendaftar sebelum anak – anak mencapai usia setahun secara online atau mendapatkan borang pendaftaran di Pejabat Daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing – masing. Seramai 152,225 orang penerima telah mendapat manfaat ini dengan peruntukan sebanyak RM15,222,500.00 sehingga Oktober 2014.

Program kedua adalah Program Skim Bantuan Asuhan Rakyat atau SiKembar yang dilancarkan pada tahun 2012. Bantuan ini untuk kanak – kanak berusia empat tahun dan kebawah yang dihantar ke Taska atau nurseri yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Melalui skim ini ibubapa akan mendapat bantuan sebanyak RM100 setiap bulan untuk bayaran menghantar anak ke Taska atau nurseri. Dan sehingga kini seramai 1,237 orang penerima manfaat program ini dengan kos RM943,900.00.




Program ketiga pula adalah Program Skim Bantuan Tadika Negeri Selangor atau TUNAS yang mana Kerajaan akan memberi bantuan yuran sebanyak RM50 setiap bulan kepada kanak – kanak Tadika yang layak. Bantuan ini akan disalur terus kepada pihak Tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor. Dan sebanyak RM4,509,127.00 telah dibelanjakan yang memanfaatkan 11,205 orang pemohon.

Dan bagi pihak pengusaha Taska atau pengasuh kanak – kanak, Kerajaan Negeri juga menyediakan Kursus Intensif Perkembangan Kanak – Kanak (KIPK) kepada mereka yang bercadang membuka Taska atau Pusat Asuhan Kanak – kanak. 

Pelbagai usaha Kerajaan Negeri laksanakan bagi kategori kanak – kanak ini yang pada masa yang sama membantu para ibubapa juga penjaga. Ini semua bagi memastikan anak – anak kita mendapat pendidikan dan asuhan yang sempurna dan berkualiti agar mereka membesar menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.






No comments:

Post a Comment