Thursday 13 November 2014

Ubah sikap jika mahu perangi denggi

Dr Daroyah Alwi


DALAM pertemuan dengan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi, beliau menyatakan virus denggi sebenarnya disebarkan oleh manusia.

Beliau juga menyuarakan rasa kebimbangan melihat bilangan angka kematian akibat wabak denggi semakin meningkat. Dalam masa yang sama beliau turut mendedahkan bahawa denggi akan terus menjadi wabak selagi fokus hanya diberikan kepada nyamuk, sedangkan banyak faktor lain perlu diambil kira.

Ikuti temu bual lanjut bersama wartawan Sinar Harian, Norawazni Yusof bersama jurugambar, Sharifudin Abdul Rahim di Bangunan Sultan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.


Setakat ini berapa jumlah kes demam denggi dan kematian dicatatkan di Selangor?

Kes denggi semakin membimbangkan dan jika kita lihat, angka korban disebabkan kes denggi di negeri ini meningkat empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Jika merujuk pada rekod, Selangor kekal memegang rekod kes kematian paling tinggi iaitu 62 orang. Tahun lalu hanya 38 kes kematian dilaporkan dan angka terbaru ini amat menakutkan.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan kes terkumpul iaitu 43,460 manakala sebanyak 208 kes harian dilaporkan.


Berapa kawasan panas yang telah dikenal pasti ada wabak denggi?

Terdapat empat daerah kawasan panas yang telah dikenal pasti iaitu daerah Petaling Jaya, Gombak, Hulu Langat dan Klang. Kawasan ini perlu diberi keutamaan dalam pelaksanaan aktiviti kawalan.

Kawasan ini dikesan apabila wabak denggi berlarutan sehingga 15 hingga 30 hari. Bila berlarutan terlalu lama, kita akan mengambil langkah pengawalan dengan menjalankan pemeriksaan secara ketat.


Apakah punca sehingga menyebabkan kawasan tersebut menyumbang kepada wabak denggi?

Sepanjang pemeriksaan dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), didapati lokasi panas yang dikenal pasti kebiasaannya mempunyai kepadatan penduduk dan jumlah rumah yang sangat banyak menjadi faktor utama pembiakan nyamuk aedes.

Ramai yang tidak menyedari bahawa kepadatan penduduk antara faktor penyumbang kepada wabak penyakit seperti denggi. Di kawasan padat penduduknya memang sukar dikawal sistem perparitan, sampah-sarapnya malah kebersihan kawasan persekitaran.

Kita tentunya tidak boleh mengurangkan kepadatan penduduk di sesuatu tempat kerana sudah menjadi lumrah, namun rakyat perlu sedar dengan menjaga kebersihan.

Sikap tidak endah segelintir masyarakat dengan kebersihan kawasan kediaman serta persekitaran perumahan dilihat punca utama berlakunya peningkatan mendadak kes demam denggi di negeri ini.

Lagi memburukkan keadaan apabila segelintir masyarakat secara sengaja membuang sampah menyebabkan ia menjadi takungan air untuk pembiakan nyamuk aedes.


Apakah usaha yang kerajaan negeri dan PBT lakukan dalam menangani wabak denggi?

Pada 3 November lalu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali telah melancarkan pelan tindakan Selangorku Bebas Denggi yang melibatkan semua PBT, ahli majlis daerah, ketua kampung dan ketua komuniti kaum India  di seluruh Selangor untuk menjayakan program gotong-royong besar-besaran pada 16 November ini.

Kita telah arahkan semua PBT mengadakan program itu mengikut zon masing-masing dan jika program itu tidak dapat dijalankan oleh PBT pada tarikh yang ditetapkan disebabkan oleh kekangan peralatan atau kakitangan, kerajaan negeri benarkan untuk mereka jalankan program ini pada tarikh berikutnya sehingga penghujung Disember nanti.


Bila program Terjah dan Musnah Aedes akan diadakan?

Program ini  akan diadakan pada 16 November di Selangor secara serentak bagi membersihkan kawasan awam seperti, kawasan komersial, rumah kedai dan kawasan rumah kediaman.


Sejauh mana penganjuran program ini mampu menyedarkan masyarakat?

Itulah tugas yang paling mencabar, namun kita akan sedaya upaya memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya denggi.

Saya sebagai seorang doktor, terpanggil untuk memberi penerangan kepada masyarakat betapa bahayanya wabak ini kerana boleh mengundang kematian. Rakyat patut diberi pendedahan mengenainya.

Kita sebolehnya mahu mereka ambil berat tentang isu ini dan peka terhadap persekitaran serta lebih bertanggungjawab apabila melihat takungan air yang boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak.

Penganjuran program kali ini agak berbeza kerana kita akan mengajar masyarakat cara menghapuskan nyamuk aedes di kawasan kediaman mereka kerana apabila wujudnya air bertakung potensi untuk nyamuk aedes membiak amat tinggi.


Adakah semburan kabus satu kaedah bagi menyelesaikan masalah penularan denggi?

Semburan kabus bukan penyelesaiannya untuk mengurangkan kes demam denggi. Aktiviti semburan kabus merupakan langkah pencegahan yang terakhir bagi membunuh nyamuk aedes dewasa dan bukannya langkah paling utama.

Rakyat perlu sedar bahawa semburan kabus hanya bersifat sementara kerana ia hanya membunuh nyamuk dewasa bukannya boleh membunuh jentik-jentik. Jadi kita tidak boleh bergantung harap kepada semburan kabus semata-mata tetapi perlu menggunakan cara lain bagi menghapusnya nyamuk aedes.

Dalam konteks ini semburan kabus hanya akan dibuat apabila ada aduan mengenai wabak tersebut.  Namun masyarakat perlu berusaha memeriksa persekitaran kediaman mereka selama 10 minit seminggu untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Sikap masyarakat juga penting dalam usaha memerangi denggi. Saya ingatkan kepada semua rakyat Selangor bahawa kesedaran mengenai kebersihan sekeliling perlu dititikberatkan oleh setiap individu dengan menjaga halaman rumah.


Apa harapan kerajaan negeri terhadap program ini?

Saya berharap usaha yang dilaksanakan ini mendapat sokongan dan kerjasama yang konstruktif daripada kerajaan pusat. Sebelum ini saya ditemui oleh doktor di hospital kerajaan dan swasta yang mengadu berhubung jumlah pesakit denggi yang begitu ramai sehingga tidak mampu lagi ditampung oleh pihak hospital.

Justeru kerajaan  negeri berpendapat langkah paling penting perlu diambil semua pihak di seluruh negara ini adalah pencegahan.

Justeru menjadi tanggungjawab kita untuk memupuk kesedaran masyarakat dan menyampaikan maklumat berkaitan Program Gotong Royong Mega yang akan diadakan untuk memastikan penglibatan majoriti rakyat di negeri Selangor.

Kita juga mengalu-alukan kerjasama dan usaha konstruktif warga media selaku ejen sosialisasi masyarakat.

Kita harap dengan pelancaran pelan tindakan dan kempen yang akan dibuat pada Ahad ini akan dapat membantu untuk mengurangkan kes demam denggi di Selangor. Insya-ALLAH.



No comments:

Post a Comment