Monday 10 November 2014

Mangsa banjir Cameron Highlands patut dapat penempatan selamat


CAMERON HIGHLAND, 10 NOV: Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi kesal langkah pihak berwajib di Cameron Highland apabila menempatkan semula mangsa banjir Lembah Bertam ke tempat yang turut mempunyai risiko ditimpa banjir.
Kata Dr Daroyah, keadaan ini seperti menunjukkan bahawa agensi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pahang tidak serius membantu mangsa banjir yang menyebabkan mangsa terlibat terpaksa berhadapan dengan bencana berganda.
“Sebelum ini di Lembah Bertam mereka pernah jadi mangsa tetapi disebabkan penempatan diberikan di tempat rendah dan di tebing sungai, bila berlaku banjir mereka terlibat sekali lagi.
“Ini menyedihkan kerana mereka jadi mangsa bencana berganda kerana ‘total lost’ ini memang kita faham, hilang harta benda, perlu bangkit mencari rezeki nak dapatkan balik harta benda, ini sangat menyulitkan.
“Jangan biarkan mereka terkapai-kapai sendirian sebab apa yang kita lihat walaupun ada bantuan tetapi mereka tidak dibantu dengan secukupnya,” kata Dr Daroyah selepas menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Baru Ringlet di sini, semalam.
Antara bekas mangsa bencana banjir Lembah Bertam yang terpaksa berhadapan bencana sama di penempatan baru mereka, Jamil Abdullah, 56 tahun.
“Masa banjir di Lembah Bertam dahulu mereka pindahkan saya ke Ringlet ini dengan janjinya untuk enam bulan tetapi sekarang dah setahun dua minggu sampai berlaku banjir pula di sini.
“Kalau betul nak menolong dah lama dah. Tak payah lama-lama tetapi ini tak nak menolong agaknya,” kata pesara polis itu.
Jamil beritahu, selain rumah dan sebuah keretanya hanyut ketika bencana banjir Lembah Bertam tahun lalu, bencana banjir kali ini hampir kesemua barangan elektrik dan dokumen penting miliknya rosak.
Jamil turut mempertikaikan keputusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meluluskan pembinaan sebuah sekolah di tepi sungai yang menyebabkan sekolah terbabit sering dilanda banjir.
Seorang lagi mangsa banjir Marry Alen a/p Ramanaidu, 32 tahun pula berkata mangsa banjir Kampung Baru Ringlet tidak mengharapkan wang ringgit daripada kerajaan sebaliknya penempatan baru yang bebas banjir.
“Beri saguhati duit berapa ratus atau seribu sekalipun duit akan habis juga tetapi masalah banjir tak selesai.
“Apa yang kami nak adalah rumah. Kami nak beli bukan minta percuma atau sekurang-kurangnya tapak rumah yang selamat untuk kami bina sendiri rumah kami,” kata Marry Alen.
EZY

No comments:

Post a Comment