Friday 28 November 2014

Lulus peruntukan RM2,815,462.74 untuk PWB

KENYATAAN MEDIA
YB PUAN DR DAROYAH BINTI ALWI
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP KESIHATAN, KEBAJIKAN,
HAL EHWAL WANITA DAN KELUARGA
NEGERI SELANGOR


Berdasarkan ucapan penggulungan Dato’ Menteri Besar, Y.A.B Tuan Mohamed Azmin Ali semalam, sukacita dimaklumkan  bahawa Program Pusat Wanita Berdaya (PWB) Negeri Selangor telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Khas Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi dan diperuntukkan bajet sejumlah RM2,815,462.74 untuk kos operasi bagi tahun 2015.

Bagi meningkatkan keaktifan Program PWB sehingga ke akar umbi, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia akan melaksanakan proses pelantikan peringkat Negeri seorang Pegawai Tadbir (N41), seorang Penolong Pegawai Tadbir (N27), seorang Pembantu Tadbir (N17) selain 56 orang penyelaras PWB yang dicalonkan sendiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN)  secara Contract for Service dengan bayaran elaun RM1,500.00 setiap bulan pada awal tahun 2015.

Penyelaras PWB yang dilantik akan ditempatkan di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) mengikut DUN bagi menjalankan tugas, mereka boleh mengguna pakai kemudahan dan kelengkapan pejabat di setiap PKM di DUN masing-masing.
Prestasi penyelaras ini akan dipantau melalui keaktifan aktiviti yang dijalankan. Sekiranya PWB di DUN yang dilantik tidak menjalankan aktiviti mingguan melebihi 3 kali berturut-turut, perkhidmatan penyelaras tersebut akan ditamatkan dan akan diganti dengan penyelaras yang baru.

Peruntukan akan disalurkan melalui permohonan kertas kerja program yang dihantar oleh PWB. Setiap PWB akan diperuntukkan sebanyak RM30,000.00 setahun. Peruntukan yang disediakan adalah untuk melaksanakan program mengikut 12 bidang fokus yang telah ditetapkan serta aktiviti di peringkat komuniti yang ditetapkan di bawah Perancangan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita merangkumi program di peringkat DUN seperti Memogram, One Stop Crisis Center (OSCC), Lawatan Turun Padang YB Exco, Program Peringkat Negeri dan program-program yang diarahkan dari semasa ke semasa.

Struktur PWB sedia ada ditambah baik dengan melibatkan penglibatan Pejabat Tanah Dan Daerah sebagai agen mengaktifkan dan pemantau pelaksanaan PWB di peringkat DUN. Struktur yang baru selaras dengan keputusan MMKN yang telah disahkan pada Bil.14/ 2014 yang melibatkan Pejabat Tanah dan Daerah bertarikh 23 April 2014.

Pusat Komuniti Wanita (PKW) yang telah diwujudkan sejak tahun 2009 di lapan (8) DUN sebagai pilot program di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, ia telah ditukar kepada nama yang baru dengan panggilan Pusat Wanita Berdaya (PWB) merupakan penjenamaan semula bersama-sama Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor mulai tahun 2011.
Penjenamaan semula yang dikenali sebagai PWB ini dilaksanakan dengan objektif serta fungsi yang sama tetapi ditambah baik mengikut keperluan. Objektif penubuhan PWB ini adalah untuk menggalakkan wanita di sesuatu komuniti untuk bergiat aktif dan melaksanakan aktiviti yang boleh mendatangkan pendapatan kepada komuniti tersebut atau kepada individu.

Justeru itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita telah mengenal pasti 12 bidang keutamaan yang lebih fokus akan dilaksanakan sebagai aktiviti di PWB.

1)   Ekonomi
2)   Pekerjaan Dan Sektor Informal
3)   Hak, Keselamatan Dan Undang-Undang
4)   Pendidikan Dan Latihan
5)   Politik Dan Pembuat Keputusan
6)   Sosial, Budaya Dan Agama
7)   Keluarga
8)   Kesihatan
9)   Sukan Dan Rekreasi
10) Melonjak Daya Upaya Intelektual Dan Profesional
11) Pengarus Utamaan Gender Dan Bajet Gender Teknologi, Sains Dan Alam Sekitar.


Bidang-Bidang keutamaan ini dikenal pasti berdasarkan keperluan masa kini, perancangan dan sumbangan wanita Negeri Selangor dalam ekonomi Negeri.

No comments:

Post a Comment