Monday 10 November 2014

5 hospital perintis Program Lawatan Medik


SERDANG, 10 NOV : Lima hospital dijadikan perintis dalam Program Lawatan Medik anjuran Kerajaan Negeri bagi memberi peluang pemimpin turun padang memantau kebajikan rakyat secara dekat.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata lima hospital  itu ialah Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Ampuan Rahimah,Klang dan Hospital Tanjung Karang.
serdang6Beliau berkata antara agenda menjadi tumpuan adalah Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) yang mengkhususkan kepada golongan wanita teraniaya mendapatkan rawatan serta khidmat kaunseling di hospital.
"Disamping memberikan sumbangan peralatan untuk program OSCC, kita juga ingin melawat golongan wanita dan kanak-kanak bagi mendekati serta berkenalan dengan mereka serta mendapat maklum balas daripada pihak hospital mengenai program Kerajaan Negeri.
"Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk memberikan sokongan sekiranya terdapat perkara yang ingin dibangkitkan sama ada di peringkat negeri dan pusat, malah kita sedia bekerjasama jika ada keperluan," katanya semasa mengadakan lawatan di Hospital Serdang, hari ini.
Turut serta dalam lawatan itu adalah isteri Dato' Menteri Besar Selangor, Shamshida Taharin.
Dalam lawatan itu, Shamshida dan Daroyah meluangkan masa lebih sejam melawat wad wanita dan pediatrik untuk menyerahkan bantuan berupa wang ringgit dan hamper sumbangan Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Daroyah yang juga Adun Sementa turut meminta rakyat supaya mengambil peluang untuk menyertai program kebajikan yang disediakan Kerajaan Selangor antaranya Skim Bantuan Kesihatan dan Skim Kesihatan Wanita.
Katanya melalui program itu rakyat yang tidak berkemampuan berpeluang menerima rawatan kesihatan secara percuma di hospital kerajaan dengan nilai perubatan di bawah RM5,000.
"Pembedahan kecil di bawah nilai RM5,000 bagi yang tidak berkemampuan boleh mendapatkan bantuan Kerajaan Negeri melalui permohonan di pejabat Adun atau rujuk kepada pihak korporat di hospital," katanya lagi.
EZY

No comments:

Post a Comment