Tuesday 18 November 2014

KENYATAAN MEDIA
YB PUAN DR. DAROYAH BINTI ALWI
 PROGRAM GOTONG–ROYONG MEGA :
”TERJAH & MUSNAH AEDES NEGERI SELANGOR 2014”

Walaupun kita sedar bahawa negeri Selangor merupakan sebuah negeri yang telah membuktikan daya saing yang tinggi untuk menjadi peneraju dalam apa-apa bidang sekalipun yang diceburi, tetapi tidak sama sekali gembira apabila kita turut mendahului statistik wabak denggi di Malaysia.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri serius dalam usaha menangani masalah ini dan telah melipat gandakan usaha dengan melancarkan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 pada 3 November lalu dan disusuli Program Gotong Royong Mega yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negeri Selangor pada Sabtu lalu, 16 November 2014 demi untuk mencapai sasaran dan matlamat iaitu penurunan kes wabak denggi di negeri ini dalam tempoh dua (2) bulan yang akan berakhir pada penghujung Disember 2014.


Datuk Menteri Besar, Tuan Mohamed Azmin Bin Ali memperlihatkan keseriusan beliau dalam usaha menangani isu ini apabila beliau sendiri telah melancarkan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 dan turut turun padang semasa Program Gotong Royong Mega “Terjah Dan Musnah Aedes” di Kampung Klang Gate, Taman Melawati, tempohari.

Saya bersama barisan Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor (Exco) yang lain turut turun terjah ke daerah-daerah lain yang telah ditetapkan bagi memantau perjalanan Program Gotong Royong Mega 2014.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak tidak kira daripada jabatan-jabatan kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT), ahli-ahli Majlis, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, ketua-ketua komuniti, Badan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat - syarikat juga individu persendirian yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi mengangkat usaha kerajaan negeri dengan melaksanakan aktiviti gotong royong di kawasan masing-masing demi mencapai objektif yang telah digariskan.


Program Gotong Royong Mega ini telah melibatkan seluruh 12 PBT di 24 zon setiap PBT, 9 Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, semua ahli majlis PBT dan semua ketua kampung seluruh negeri Selangor. Ia jelas memperlihatkan komitmen dan keseriusan kerajaan negeri demi mencapai objektif yang digariskan.

Walau bagaimanapun dilaporkan masih terdapat beberapa lokasi yang masih belum melaksanakannya kerana faktor-faktor tertentu. Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi 2014 belum lagi berakhir sejurus selesainya Program Gotong Royong Mega lepas, tetapi ia akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini dan laporan mingguan akan dibentangkan oleh setiap PBT dan Pejabat Daerah.

Oleh yang demikian, mana-mana pangsapuri, taman-taman perumahan juga kampung-kampung yang masih belum melaksanakan aktiviti gotong royong ini boleh melaksanakannya sehingga kita semua berjaya menjadi faktor penyumbang kepada penurunan kes wabak yang mampu membawa maut ini.

Isu denggi sebenarnya merupakan isu kebersihan. Bukan isu kesihatan semata –mata. Masyarakat harus melakukan satu ‘paradigm shift’ atau anjakan paradigma dalam memahami epidemik ini dan bagaimana mencegahnya.  Daripada fokus kepada aktiviti kawalan; kita buat anjakan paradigma dengan fokus kepada aktiviti pencegahan.

Tanggungjawab menjaga kebersihan ini adalah tanggungjawab kita bersama, ia perlu dilaksanakan di peringkat masing – masing kerana peranan kita semua akan menentukan keberhasilan dan pencapaian pelan tindakan ini. Bersama kita berusaha mewujudkan masyarakat yang sihat dan Negeri yang makmur, bebas daripada wabak denggi.






Sekian, Terima Kasih.


YB PUAN DR. DAROYAH BINTI ALWI.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan,
Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor.


No comments:

Post a Comment